'Demam' Piala Thomas/Uber Belum Dirasai Pemain

Diterbitkan: Selasa, 10 Mei 2016 8:54 PM

Lee Chong Wei.

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Jaguh badminton negara, Datuk Lee Chong Wei mengakui 'demam' Piala Thomas/Uber masih belum dirasai skuad negara biarpun hanya lima hari sebelum kejohanan bermula di Kunshan, China, Ahad ini.

Chong Wei yang juga merupakan ketua pasukan Piala Thomas negara berkata buat masa ini, pemain masih dalam keadaan tenang selepas menamatkan sesi latihan tertutup selama 10 hari di Stadium Juara, Bukit Kiara, di sini.

Namun, beliau percaya tekanan akan mula dirasai sedikit demi sedikit apabila mereka menjejak kaki di Kunsha pada Rabu.

"Sepanjang 10 hari kita berlatih bersama termasuk dengan pemain beregu profesional, (Koo) Kien Keat-(Tan) Boon Heong, kita dapat membentuk semangat berpasukan.

"Saya rasa semua pemain buat masa ini belum rasa apa-apa tekanan lagi, mungkin sampai sana nanti baru terasa terutama sehari sebelum saingan," katanya ketika ditemui pemberita pada sesi bertemu media selepas tamat latihan tertutup itu, di sini Selasa.

Skuad Piala Thomas negara diundi dalam Kumpulan C bersama Korea Selatan, England dan Jerman.

Chong Wei, yang kini berada di ranking kedua dunia berkata skuad negara perlu menang ke atas England dan Jerman untuk memastikan tempat di suku akhir nanti.

"Bagi perlawanan dengan Korea Selatan pula, kita perlu menang untuk mengelak daripada berjumpa juara kumpulan yang lebih sukar. Apapun, kita akan cuba dapatkan kedudukan terbaik," katanya.

Sementara itu, Kien Keat berkata kem latihan itu menggamit kembali memori ketika beliau berlatih dalam kem negara.

Kien Keat yang berpasangan dengan Boon Heong berkata walaupun tampil sebagai beregu kedua negara, mereka juga memikul tugas penting menyumbang mata kepada pasukan.

"Sebagai beregu kedua, kita juga penting kerana mungkin akan jadi penentu perlawanan. Kita juga tidak boleh memandang rendah beregu lawan kerana masing-masing ada peluang," katanya yang akan beraksi buat kali kelima dalam kempen Piala Thomas.

Skuad Piala Thomas turut dibarisi Iskandar Zulkarnain Zainuddin, Chong Wei Feng, Goh Soon Huat serta pasangan Goh V Shem-Tan Wee Kiong dan Teo Ee Yi-Ong Yiew Sin.

Pada edisi 2014, Malaysia muncul naib juara selepas tewas kepada Jepun pada perlawanan akhir yang berlangsung di New Delhi, India. Kali terakhir Malaysia menjuarai Piala Thomas ialah pada 1992 di Kuala Lumpur.

Bagi skuad Piala Uber negara pula, pemain beregu Vivian Hoo berkata tekanan ke atas pasukan wanita tidak seberat yang dirasai pemain Piala Thomas.

"Mungkin sebab harapan untuk skuad Piala Uber tidak tinggi, jadi tekanan yang kita rasai agak kurang berbanding skuad lelaki.

"Bagaimanapun, kita tetap akan beri yang terbaik di China, nanti," katanya yang berpasangan dengan Woon Khe Wei.

Pemain beregu campuran, Goh Liu Ying diberi tanggungjawab mengetuai skuad Piala Uber negara yang turut dibarisi Tee Jing Yi, Goh Jin Wei, Ho Yen Mei, Sonia Cheah, Chow Mei Kuan-Lee Meng Yean dan Amelia Anscelly. - BERNAMA

Tags / Kata Kunci: Lee Chong Wei , Piala Thomas/Uber

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan