Skuad Wanita Negara Iringi China Ke Suku Akhir

Diterbitkan: Khamis, 18 Februari 2016 8:19 PM

Pasangan kembar Luo Ying/Luo Yu.

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Skuad wanita negara mengiringi China ke suku akhir Kejohanan Berpasukan Asia (BATC) biarpun tewas 1-4 kepada gergasi dunia itu dalam perlawanan terakhir Kumpulan A di Hyderabad, India, pada Khamis.

Malaysia yang menang 3-2 ke atas Hong Kong dalam aksi pertama mereka Selasa lepas, ketinggalan selepas Ho Yen Mei tunduk kepada Wang Shixian 19-21, 12-21.

Gandingan kembar, Luo Ying/Luo Yu menggandakan kelebihan pasukan Tembok Besar itu selepas mengetepikan pasangan Amelia Alicia Anscelly/Vivian Hoo Kah Mun 21-14, 21-11.

Namun juara remaja dunia, Goh Jin Wei merapatkan kedudukan selepas mengalahkan naib juara Thailand Masters, Sun Yu 21-13, 21-16 bagi menjadikan kedudukan 2-1.

Bagaimanapun, kehebatan China terbukti apabila mengutip mata kemenangan selepas Tang Yuanting/Yu Yang menyumbang mata ketiga apabila Chow Mei Kuan/Lee Meng Yean menarik diri ketika ketinggalan 10-18 dalam set pertama.

Pemain ranking ke-54 dunia, Chen Yufei melengkapkan kedudukan 4-1 untuk China selepas menjinakkan naib juara remaja dunia, Lee Ying Ying 21-14, 21-6 dalam aksi perseorangan ketiga.

Sementara itu, skuad lelaki negara muncul naib juara Kumpulan B selepas tewas 1-4 kepada Jepun dalam aksi terakhir kumpulan itu, malam Khamis.

Kekalahan itu bagaimanapun tidak menjejaskan kedudukan Malaysia yang sudah mengesahkan tempat di suku akhir selepas mencatat dua kemenangan, masing-masing 4-1 ke atas Sri Lanka dan 5-0 ketika berdepan Nepal.

Dalam perlawanan malam ini, Kento Momota memberi kelebihan awal kepada Jepun apabila mudah menundukkan juara remaja dunia 2011, Zulfadli Zulkiffli 21-10, 21-11 sebelum pasangan Hiroyuki Endo/Kenichi Hayakawa melebarkan kedudukan selepas menang ke atas Tan Wee Gieen/Teo Ee Yi 21-13, 21-16.

Malaysia merapatkan kedudukan 1-2 menerusi juara kebangsaan, Iskandar Zulkarnain Zainuddin yang bangkit untuk menang 17-21, 21-14, 21-17 ke atas Takuma Ueda.

Takeshi Kamura/Keigo Sonoda mengesahkan kemenangan Jepun selepas menewaskan Low Juan Shen/Tan Kian Meng 21-10, 15-21, 21-8 sebelum Kenta Nishimoto menjadikan kedudukan 4-1 dengan mengalahkan Soong Joo Ven 21-18, 21-19.

Tags / Kata Kunci: badminton , suku akhir , China

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan