BAM Tidak Amal Perkauman Dalam Pemilihan Pemain

Diterbitkan: Khamis, 4 Februari 2016 3:30 PM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Persatuan Badminton Malaysia (BAM) tidak pernah 'berat sebelah' atau menggunakan isu perkauman dalam pemilihan pemainnya, kata pemangku presidennya Tan Sri Mohamed Al-Amin Abd Majid.

Katanya BAM menggunakan proses yang telus dalam pemilihan pemain pelapis kebangsaan, di mana semua pemain perlu menjalani proses yang telah ditentukan oleh bahagian kejurulatihan persatuan itu.

"Selain itu, pemilihan pemain tidak dibuat berdasarkan keputusan seorang individu sahaja," katanya kepada Bernama di Stadium Juara Bukit Kiara di sini, Khamis.

Sebelum ini seorang pemain remaja Muhammad Iqram Maula Azman menyuarakan kekecewaan dengan tindakan BAM menyingkirkannya daripada skuad pelapis negara.

Dalam pada itu bapanya, Datuk Azman Abdullah turut melahirkan rasa kecewa dengan BAM terutamanya kepada Pengarah Teknikal Morten Frost Hansen yang didakwa tidak memberi peluang kepada Muhammad Iqram membuktikan kemampuan.

"Adalah jelas dakwaan Datuk Azman itu tidak berasas. Sistem pemilihan kita adalah yang paling telus. Daripada 40 pemain, 19 telah dipilih.

"Kita ada kriteria yang ditetapkan Jawatankuasa Latihan. Proses yang kita beri adalah sama, kita juga mengambil kira anaknya (Muhammad Iqram) cedera...BAM tidak menjadikan anaknya sebagai mangsa," kata Mohamed Al-Amin.

Beliau turut menegaskan BAM tidak pernah menggunakan isu perkauman dalam pemilihan pemain untuk diserapkan dalam pasukan kebangsaan.

Tags / Kata Kunci: BAM

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan