Frost Yakin Malaysia Layak Ke Piala Thomas 2016 - Raket | mStar

Frost Yakin Malaysia Layak Ke Piala Thomas 2016

Diterbitkan: Sabtu, 16 Januari 2016 8:31 PM

(Ubah saiz teks)

GENTING HIGHLANDS: Pengarah Teknikal Persatuan Badminton Malaysia (BAM) Morten Frost Hansen yakin skuad negara akan layak ke Piala Thomas walaupun membariskan pemain muda di Kejohanan Berpasukan Asia (BATC) bulan depan.

Bagi Frost kedudukan Malaysia pada ranking keenam Persekutuan Badminton Dunia (BWF) sudah cukup memberi peluang kepada mereka layak ke kejohanan dwitahunan itu yang akan dilangsungkan di Kunshan, China dari 15-22 Mei.

BATC yang diadakan dari 15-21 Feb turut menjadi pentas kelayakan bagi negara bertanding untuk merebut tiket ke Piala Thomas.

Frost berkata bagi Piala Thomas, empat slot diberikan untuk Asia dan Eropah dan masing-masing satu untuk juara bertahan dan tuan rumah manakala Afrika, Pan Amerika dan Ocenia akan diwakili juara masing-masing.

"Baki tiga tempat akan menjadi rebutan pasukan lain mengikut ranking duniadan dengan kedudukan di tempat keenam, tiada sebab untuk kita tidak layak ke China walaupun jika gagal mencapai keputusan yang diharapkan di India," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Mesyuarat Majlis BAM yang pertama bagi 2016 di sini pada Sabtu.

Pemangku Presiden BAM Tan Sri Mohamed Al-Amin Abd Majid mempengerusikan mesyuarat itu yang turut dihadiri timbalannya, Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria, 
Setiausaha Agung, Ng Chin Chai serta anggota lain.

Mengenai penyenaraian dua pemain muda - Soo Teck Zhi dan Soong Joo Ven yang masing-masing berusia 20 tahun untuk BATC, Frost berkata pemilihan mereka adalah berdasarkan peningkatan yang ditunjukkan dalam ranking dunia.

"Ya, mereka belum menang sebarang pertandingan utama antarabangsa tahun lalu tapi ranking dunia mereka meningkat. Jadi, mereka wajar diberi peluang beraksi di BATC untuk menimba pengalaman," katanya.-Bernama

Tags / Kata Kunci: BAM , Morten Frost Hansen
   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan