Bekas Pemain Tidak Setuju BAM Hantar Skuad Muda Sertai BATC

Diterbitkan: Sabtu, 16 Januari 2016 3:00 PM

(Ubah saiz teks)

GENTING HIGHLANDS: Keputusan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) untuk menghantar skuad dianggotai pemain muda ke Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC) di Hyderabad, India bulan depan menerima respons negatif daripada beberapa bekas pemain antarabangsa.

Ong Ewe Hock, yang pernah mendapat ranking sebagai pemain nombor dua dunia ketika mewakili Malaysia pada 1990-an menganggap keputusan itu hanya memperjudikan peluang Malaysia untuk melayakkan diri ke pusingan akhir Piala Thomas di Kunshan, China pada 15-21 Disember ini. 

BATC, yang akan berlangsung dari 15 hingga 21 Februari ini, merupakan pusingan kelayakan untuk memilih pasukan yang layak ke pusingan akhir Piala Thomas.

Ewe Hock, yang membantu Malaysia untuk muncul sebagai naib juara Piala Thomas sebanyak tiga kali -- 1994, 1998 dan 2002 -- sebaliknya mengesyorkan agar BAM menghantar pasukan campuran terdiri daripada pemain muda dan berpengalaman untuk berdepan dengan pasukan lebih kuat pada kejohanan di India itu, terutama China dan Jepun, yang telah melayakkan diri ke pusingan akhir Piala Thomas berdasarkan kedudukan mereka sebagai negara tuan rumah dan juara bertahan.

"Tidak betullah kalau kita buat keputusan menghantar (skuad) junior sepenuhnya untuk mengambil bahagian (di BATC). Pada saya, langkah mereka (BAM) itu tidak tepat kerana kejohanan ini bukan acara biasa.

"Perlu diingatkan bahawa Piala Thomas (Pusingan Akhir) adalah kejohanan penting bagi setiap pemain badminton. Jika kita turunkan (Datuk) Lee Chong Wei atau pemain berpengalaman lain, mungkin mereka boleh menyumbang mata kepada pasukan kita dan menaikkan semangat para pemain junior," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui di Kejohanan Badminton Cabaran Juara Resort World Genting di Arena of Stars, di sini, Sabtu.

Pandangan serupa turut disuarakan bekas pemain seangkatan dengan Ong, Rashid Sidek, yang menyifatkan BAM mengambil langkah berani dengan menyenaraikan barisan pemain muda, walaupun mereka sedar peluang Malaysia untuk layak ke pusingan akhir Piala Thomas agak sukar.

"Kalau cerita dari segi peluang, memang tipis, kerana rata-rata pasukan lain, terutamanya perseorangan lelaki, adalah mereka yang berpengalaman...pernah menjuarai kejohanan antarabangsa, berbanding pasukan kita yang sekadar mencatat kemenangan pada kejohanan yang sederhana (bertaraf rendah) sahaja.

"Mungkin ini satu keputusan daripada BAM untuk memberi pendedahan kepada pemain-pemain muda supaya dapat menunjukkan sesuatu kepada barisan kejurulatihan di BAM," kata Rashid, yang kini berkhidmat sebagai jurulatih dengan Kelab Badminton Cheras (Cheras BC).

Timbalan presiden BAM Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria dipetik pada Jumaat sebagai berkata bahawa BAM membuat keputusan menghantar skuad pemain muda ke kejohanan di India itu bagi mengukur kemampuan mereka sebagai anggota skuad Piala Thomas, sambil memberi pendedahan awal kepada mereka untuk beraksi dalam kejohanan besar.

Juara Kejohanan Remaja Dunia 2011, Zulfadli Zulkiffli, 22, akan mengetuai cabaran Malaysia dalam acara perseorangan lelaki, yang turut dianggotai Zulkarnain Zainuddin, 24, Soong Joo Ven, 19, dan Soo Teck Zhi, 20.

BAM juga membariskan Tan Kian Meng, Ong Yew Sin, Low Juan Shen, Teo Ee Yi, Tan Wee Gieen, di samping Tan Chee Tean untuk menyertai BATC.

Malaysia perlu menamatkan kempennya di BATC dengan menduduki antara enam tempat teratas untuk layak ke pusingan akhir Piala Thomas.-- Bernama
Tags / Kata Kunci: Ong Ewe Hock , BATC , BAM

iklan

Video

Ahad, 19 November 2017 9:00 AM

#akuStar: Cikgu Meera - Oh Sayangku

Jumaat, 17 November 2017 4:25 PM

Tokan Kantoi Bungkus Dadah Dalam Plastik Teh

Jumaat, 17 November 2017 2:00 PM

Pesawat Dedah Punca Menyepi

Jumaat, 17 November 2017 9:00 AM

#akuStar: Hyper Act - Kasih

Khamis, 16 November 2017 2:00 PM

“Kalaulah Diberi Watak Utama...” - Riz Amin

Khamis, 16 November 2017 9:05 AM

Tak Tipu! Rawang Bypass Memang Gayat

Khamis, 16 November 2017 9:00 AM

Sufi Tak Mampu Tolak Haqiem Rusli

Rabu, 15 November 2017 9:00 AM

Bakat Mafarikha Tersia-sia Enam Tahun

Selasa, 14 November 2017 2:00 PM

Nasi Kandar 3 Jam!

Kolumnis

iklan

Iklan