Tewaskan Nadal, Djokovic Juara Terbuka Qatar

Diterbitkan: Ahad, 10 Januari 2016 6:10 PM

Novak Djokovic (kiri) dan Rafael Nadal.

(Ubah saiz teks)

NOVAK Djokovic memenangi gelaran pertamanya untuk tahun 2016 dengan permainan sempurna, menewaskan musuhnya, Rafael Nadal dalam final Terbuka Qatar.

Pemain nombor satu dunia itu menang 6-2, 6-1 dalam pertandingan yang hanya berlangsung selama 73 minit.

"Saya bermain cukup sempurna hari ini, dari awal lagi saya mampu melepaskan setiap pukulan dengan cara yang saya inginkan," kata pemain dari Serbia itu.


Tambahnya, perlawanan ini membuatkan dia merasakannya sebagai perlawanan tenis terbaik dalam kariernya.

"Ia terasa dekat dengan kesempurnaan."

"Bermula dari mata pertama sehingga yang terakhir, saya mampu menerapkan taktik dan strategi saya, persediaan saya dan keadaannya menguntungkan saya."

Sementara itu Nadal juga memujinya corak permainannya, mengatakan bahawa dia belum pernah melihat seorang pun pemain mempamerkan aksi seperti Djokovic.

"Saya bersaing dengan pemain yang melakukan semuanya dengan sempurna. Saya tidak pernah berdepan dengan seorang pun yang bermain tenis seperti ini. Saya tidak pernah melihat seorang pun bermain pada tahap ini."

Djokovic bijak sepanjang pertandingan dan kemenangannya begitu komprehensif, memberi amaran bahawa dia akan kembali mendominasi tahun ini, seperti yang dilakukan pada 2015 dengan memenangi tiga dari empat kejohanan utama.

Sepanjang kejohanan di Terbuka Qatar ini, Djokovic tidak pernah tewas walau satu set dan kemenangannya ini bererti dia memenangi satu-satunya kejohanan yang belum pernah dikecapinya.

Ini merupakan final ke-16 berturut-turut bagi Djokovic, yang terakhir kali gagal memenangi kejohanan pada Ogos tahun lalu di Amerika Syarikat

Nadal, pemain nombor lima dunia jarang-jarang sekali kalah dengan mudah. Namun, dia berpandangan bahawa dia telah 'mumulakan musim ini dengan positif'.
Tags / Kata Kunci: tenis , Terbuka Qatar 2016 , Novak Djokovic

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan