Jurulatih Perseorangan Lelaki Yang Baharu Diketahui Bulan Depan

Diterbitkan: Isnin, 14 Disember 2015 7:17 PM

Mohamad Norza Zakaria.

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Nama seorang lagi jurulatih perseorangan lelaki negara hanya akan diketahui awal tahun depan, kata Timbalan Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM) Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria.

Tanpa mahu mendedahkan nama calon pilihan, Mohamad Norza yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kejurulatihan dan Latihan BAM mengesahkan jurulatih berkenaan adalah dari luar negara.

"Kita sudah senarai pendekkan calon. Dia (jurulatih) itu bukan orang tempatan...dan bukan juga dari Denmark.

"Kita akan umum nama jurulatih itu awal Januari ini," katanya kepada pemberita selepas majlis perasmian Bengkel Jurulatih-jurulatih Negeri, di Stadium Juara, Bukit Kiara di sini Isnin.

BAM sebelum ini mencari seorang lagi jurulatih perseorangan lelaki kerana badan induk itu kini hanya bersandarkan kepada dua jurulatih iaitu Hendrawan dan Tey Seu Bock sahaja.

Tuntutan untuk menambah seorang lagi jurulatih disuarakan jaguh perseorangan negara Datuk Lee Chong Wei kerana mahu dua jurulatih menemaninya dalam sesuatu kejohanan termasuk Sukan Olimpik di Rio de Janeiro, Brazil tahun depan.

Mengulas mengenai kedudukan dua lagi pemain perseorangan negara Chong Wei Feng dan Liew Daren yang prestasi mereka dilihat tidak menentu, Mohamad Norza berkata perkara itu akan dibincangkan pada mesyuarat Jawatankuasa Kejurulatihan dan Latihan BAM, Januari depan.

"Kami sudah maklumkan sebelum ini akan mengkaji semula kedudukan pemain selepas Sukan Olimpik.

"Tapi seperti dijangka, kita akan mendapat jurulatih perseorangan yang baharu Januari ini. Kami pasti akan meneliti semula kerana Liew Daren masih cedera dan tidak pasti untuk berapa lama.

"Kami akan bermesyuarat semula dan akan memutuskan mengenai perkara ini Januari nanti," katanya.

Mengenai jawatan Pengurus Besar BAM pula, Mohamad Norza berkata sebanyak 16 permohonan telah diterima bagi mengisi kekosongan jawatan itu yang akan ditinggalkan penyandang, Kenny Goh mulai bulan depan.

Katanya panel temu duga seramai lima orang yang dipengerusikan beliau akan menjalankan proses temu duga pada hujung minggu ini.

"Kami mahukan seseorang yang mampu memberi dimensi baharu bagi memastikan BAM disuntik dengan pentadbiran terbaik untuk meningkatkan profesionalisme, ketelusan serta boleh memberi perkhidmatan terbaik kepada atlet.

"Ini adalah antara intipati temu duga yang akan dikendalikan panel ini," katanya.

Kenny, 49, yang menyertai BAM pada awal 2007 akan meninggalkan badan induk itu selepas lebih tujuh tahun memegang jawatan berkenaan, untuk menyertai Konfederasi Badminton Asia (BAC).

Keputusan Kenny itu bukan sesuatu yang memeranjatkan kerana beliau pernah dikaitkan dengan jawatan Pengurus Besar BAC pada awal tahun lepas sebelum akhirnya memutuskan untuk kekal bersama BAM. - BERNAMA

Tags / Kata Kunci: jurulatih perseorangan , BAM

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan