Chong Wei Jinakkan Chen Long Di Suku Akhir Terbuka Hong Kong

Diterbitkan: Jumaat, 20 November 2015 11:10 PM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Datuk Lee Chong Wei membuktikan kemenangan ke atas Chen Long di final Terbuka China minggu lepas bukan sekadar nasib apabila mengulanginya di suku akhir Siri Super Terbuka Hong Kong, Jumaat.

Pemain perseorangan lelaki utama negara itu bagaimanapun terpaksa bangkit daripada kekalahan set pertama sebelum menang 13-21, 21-19, 21-15 dalam aksi selama 85 minit di Hong Kong Coliseum.

Perlawanan jelas penuh debaran buat pemain nombor enam dunia itu apabila mengikat kedudukan 19-19 di set kedua selepas ketinggalan 13-18 kepada Chen Long yang juga juara dunia.

Pengalaman nyata berpihak kepada Chong Wei, 33, yang tenang melakukan beberapa hantaran mengelirukan untuk memenangi set kedua 21-19, sekali gus mengheret Chen Long ke set penentuan.

Bekas pemain nombor satu dunia itu lebih berhati-hati pada set ketiga dengan mengurangkan kesilapan mudah serta memantapkan serangan sehingga berjaya mengelirukan Chen Long sebelum menang 21-15.

Dengan kejayaan hari ini, Chong Wei berada di landasan tepat untuk merebut gelaran keempat Terbuka Hong Kong serta ketiga dalam Siri Super tahun ini selepas memenangi Terbuka China dan Terbuka Perancis.

Chong Wei pernah muncul juara Terbuka Hong Kong dua tahun berturut-turut iaitu pada 2009 dan 2010 sebelum merebut kembali gelaran itu pada 2013.

Laluan untuk bekas pemain nombor satu dunia itu dilihat lebih mudah selepas seorang lagi musuh tradisinya dari China, Lin Dan dikejutkan pemain tuan rumah Angus Ng Ka Long pada pusingan kedua semalam, 21-8, 21-18.

Chong Wei akan menentang Angus di separuh akhir esok yang merupakan pertemuan ketiga mereka selepas Terbuka China dan Terbuka Kanada tahun ini, yang menyaksikan kemenangan berpihak kepada jaguh negara.

Angus mara selepas mengejutkan pilihan kelima Chou Tien Chen dari Taiwan, 21-17, 15-21, 21-15 dalam perlawanan suku akhir yang berlangsung selama satu jam.

Sementara itu, malang pula menimpa pasangan beregu utama negara Goh V Shem/Tan Wee Kiong apabila tersingkir selepas tewas kepada pilihan keenam Chai Biao/Hong Wei di suku akhr. 

Pasangan negara yang dilihat garang pada awal permainan bagaimanapun gagal bertahan apabila diasak hebat gandingan China itu yang hanya memerlukan 34 minit untuk menyingkirkan V Shem/Wee Kiong dengan 21-15, 21-12.

Di separuh akhir, pasangan dari China itu akan berdepan pemenang perlawanan  antara gandingan nombor satu dunia Lee YongDae/Yoo Yeon Seong dan pasangan Indonesia Gideon Markus Fernaldi/Kevin Sanjaya Sukamuljo yang bertemu dalam satu lagi perlawanan suku akhir.-- Bernama




iklan

Video

Rabu, 13 Disember 2017 9:00 AM

Jadi Pilihan Pekin Ibrahim, Siapa Donny Alamsyah?

Selasa, 12 Disember 2017 5:41 PM

Jom Lepak Tempat 'Best' Tapi Percuma

Selasa, 12 Disember 2017 8:30 AM

Isteri Pertama Kena Kuat, Tak Boleh Lemah - Elizad

Isnin, 11 Disember 2017 9:00 AM

#BiziBody : De Fam Kantoi Gambar Selfie

Ahad, 10 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: Aziz Harun - Jangan

Jumaat, 8 Disember 2017 8:15 PM

Malaysia Tak Diam Diri, Terus Bela Nasib Palestin

Jumaat, 8 Disember 2017 2:02 PM

Zarul Husin Takut Tua

Kolumnis

iklan

Iklan