Tiga Beregu Negara Mara Ke Suku Akhir

Diterbitkan: Jumaat, 30 Oktober 2015 3:05 PM

Chan Peng Soon/Goh Liu Ying turut mara ke suku akhir.

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Pasangan beregu lelaki utama negara Goh V Shem/Tan Wee Kiong mara ke suku akhir Kejohanan Badminton Grand Prix Emas Terbuka Bitburger selepas menewaskan beregu bukan pilihan Lin Chia Yu/Hsiao-Lin Wu dari Taiwan pada Jumaat.

Menurut laman sesawang Persatuan Badminton Dunia www.bwfbadminton.org, Goh/Tan diberi tentangan sengit sebelum menang 21-16, 16-21, 21-13 dalam kejohanan yang berlangsung di Saarlandhalle Saarbrucken, Jerman.

Turut melangkah ke pusingan seterusnya ialah pasangan beregu wanita nombor satu negara Vivian Hoo Kah Mun Hoo/Woon Khe Wei apabila mereka menundukkan gandingan Leanne Choo (Australia)/Nadia Fankhauser dari Switzerland 21-17, 21-9.

Sementara itu, beregu campuran utama negara, Chan Peng Soon/Goh Liu Ying turut mara ke suku akhir selepas menggagalkan percubaan Peter Kaesbauer/Franziska Volkmann dari Jerman 21-17, 21-18.

Bagaimanapun beregu campuran Chow Mei Kuan/Wong Fai Yin mengakhiri kempen mereka di kejohananan yang menawarkan hadiah berjumlah US$120,000 (RM521,054) itu selepas kalah 13-21, 12-21 kepada pasangan pilihan keempat, Michael Fuchs/Birgit Michels dari Jerman.

Juga menerima nasib sama ialah pemain perseorangan lelaki negara Chong Wei Feng, pemain pilihan ke-14.

Walaupun mempamerkan permainan penuh semangat menentang pemain pilihan ketiga dari Jerman, Marc Zwiebler, namun beliau terpaksa tunduk 21-17, 13-21, 17-21 dalam masa 64 minit di pusingan ketiga pada Khamis.  - BERNAMA

Tags / Kata Kunci: beregu negara , suku akhir

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan