Badminton Terbuka Bitburger: Wei Feng Pemain Tunggal Malaysia Beraksi - Raket | mStar

Badminton Terbuka Bitburger: Wei Feng Pemain Tunggal Malaysia Beraksi

Diterbitkan: Rabu, 28 Oktober 2015 2:49 PM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Pemain badminton negara, Chong Wei Feng merupakan satu-satunya pemain perseorangan lelaki Malaysia yang meneruskan kemaraan dalam Kejohanan Badminton Grand Prix Emas Terbuka Bitburger, di Saarlandhalle Sarrbrucken, Jerman, selepas dua lagi pemain negara tersingkir daripada kejohanan itu.

Dalam perlawanan pembukaan pada Selasa, pemain pilihan ke-14 ini menerima tentangan hebat daripada pemain tuan rumah Kai Schaefer sebelum menang 21-15,20-22, 21-15.

Menurut laman sesawang Persatuan Badminton Dunia www.bwfbadminton.org, Chong dijangka bertemu Lukas Schmidt, pemain tuan rumah yang menewaskan rakan senegara Patrick Kaemnitz 22-20, 21-12 dalam satu lagi perlawanan pembukaan.

Sementara itu percubaan Mohamad Arif Abdul Latif untuk melangkah ke pusingan seterusnya gagal apabila tunduk 19-21, 15-21 kepada pemain pilihan kesembilan, Dionysius Hayom Rumbaka dari Indonesia manakala Jiann Shiarng Chiang juga kecewa selepas tumpas kepada pemain Denmark Joachim Persson 17-21, 10-21.

Pemain negara yang akan beraksi menerusi beberapa kategori dalam pusingan pembukaan pada Rabu ialah Lee Jian Yi/Lim Zhen Ting dan Goh V Shem/Tan bagi kategori beregu lelaki; Tee Jing Yi (perseorangan wanita), Vivian Hoo Kah Mun Hoo/Woon Khe Wei serta Amelia Alicia Anscelly/Soong Fie, kedua-duanya bagi kategori beregu wanita.

Kategori beregu campuran pula akan menyaksikan pasangan negara Chan Peng Soon/Goh Liu Ying, Wong Fai Yin/Chow Mei dan Teo Kok Siang/Lydia Cheah Yi Yu turun ke gelanggang pada Khamis ini.

Kejohanan ini menawarkan hadiah bernilai AS$120,000(RM513,357). -- Bernama

Tags / Kata Kunci: Chong Wei Feng , Bitburger

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan