Terbuka Korea: Chong Wei Tersingkir Awal

Diterbitkan: Selasa, 15 September 2015 3:08 PM

Lee Chong Wei.

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Jaguh badminton negara, Datuk Lee Chong Wei tewas mengejut di pusingan kelayakan ketika juara remaja dunia 2011, Zulfadli Zulkiffli mara ke undian sebenar kejohanan Siri Super Terbuka Korea pada Selasa.

Chong Wei tewas kepada pemain kurang ternama tuan rumah, Heo Kwang Hee 19-21, 19-21 di pusingan pertama peringkat kelayakan, sekali gus gagal buat kali pertama beraksi di undian sebenar kejohanan dalam Siri Super yang diperkenalkan pada 2007.

Untuk rekod, ini adalah kali kedua Chong Wei terpaksa bermain di peringkat kelayakan Siri Super selepas Terbuka Jepun minggu lepas berikutan ranking dunianya yang merudum akibat penggantungan lapan bulan atas kesalahan doping.

Chong Wei, yang menduduki ranking ke-28 ketika ini, tunduk dalam masa 45 minit kepada lawannya yang juga pemain nombor 125 dunia.

Aksi hambar ini pasti sesuatu yang cukup membimbangkan ketika Chong Wei sehingga kini terus menjadi sandaran utama Persatuan Badminton Malaysia (BAM) untuk layak ke Sukan Olimpik Rio de Janeiro, Brazil tahun depan.

Minggu lepas, Chong Wei gagal ke suku akhir selepas ditundukkan seteru utamanya, Lin Dan dari China di Terbuka Jepun.

Sementara itu, Zulfadli mengesahkan kemaraannya ke undian sebenar selepas  menewaskan pemain Amerika Syarikat, Sattawat Pongnairat 21-10, 21-8 di pusingan pertama kelayakan sebelum menundukkan pemain Jepun, Kazumasa Sakai 13-21, 21-8, 21-17 di pusingan kedua.

Di pusingan pertama undian sebenar pada Rabu, Zulfadli, pemain ranking ke-36 dunia akan berdepan lawannya dari Indonesia yang berada 20 ranking di atasnya, Tommy Sugiarto.

Kedua-dua pemain ini belum pernah menentang antara satu sama lain sebelum ini.

Tags / Kata Kunci: Lee Chong Wei , Terbuka Korea

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan