Kenny Enggan Komen Status Bakal Tinggalkan BAM

Diterbitkan: Khamis, 20 Ogos 2015 11:44 PM

Kenny (kiri) bersama Chong Wei selepas sesi latihan skuad negara tahun lalu.

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Pengurus Besar Persatuan Badminton Malaysia (BAM) Kenny Goh bakal meninggalkan badan induk itu selepas lebih tujuh tahun memegang jawatan berkenaan, untuk menyertai Konfederasi Badminton Asia (BAC).


Kenny, 49, yang menyertai BAM pada awal 2007, sudah menyuarakan hasratnya itu secara lisan kepada kepimpinan tertinggi BAM dan ketika ini hanya menunggu surat tawaran rasmi daripada BAC sebelum mengemukakan notis peletakan jawatan.

Keputusan Kenny itu bukan sesuatu yang memeranjatkan kerana beliau pernah dikaitkan dengan jawatan Pengurus Besar BAC pada awal tahun lepas sebelum akhirnya memutuskan untuk kekal bersama BAM.

Sebelum ini, jawatan Pengurus Besar BAC dibiarkan kosong walaupun selepas badan induk badminton Asia itu memecat Penolong Pengurus Besar mereka, ST Arasu.

Tawaran terbaru kepada Kenny itu dipercayai dibuat selepas BAC sudah menyelesaikan kes pemecatan terhadap Arasu di luar mahkamah, selepas bekas wartawan itu mengambil tindakan sehingga perkara itu dirujuk kepada Mahkamah Perindustrian.

Kenny yang dihubungi, bagaimanapun enggan mengesah atau menafikan berita itu dan sekadar menyatakan: "Saya tiada komen."

Sementara itu, Timbalan Presiden BAM Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria berkata setakat ini pihaknya belum menerima sebarang pengesahan rasmi daripada Kenny berhubung perkara itu.

"Kita memang tahu, BAC memerlukan individu seperti Kenny yang mempunyai pengalaman luas dalam pentadbiran sukan badminton. Pejabat BAC juga terletak di sini (Kuala Lumpur).

"Tetapi BAM masih memerlukan Kenny. Beliau sangat berpengalaman di BAM dan kami masih memerlukannya," katanya ketika dihubungi Bernama.

Selain memainkan peranan penting dalam pentadbiran BAM, Kenny juga mempunyai hubungan yang baik dengan barisan pemain dan jurulatih negara malah ketika dikaitkan dengan jawatan Pengurus Besar BAC tahun lepas, Datuk Lee Chong Wei turut memintanya supaya kekal bersama BAM.

Tags / Kata Kunci: Kenny Goh , BAM , BAC

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan