Kejohanan Dunia: Zulfadli Catat kejutan Singkir Pemain No.6 Dunia

Diterbitkan: Isnin, 10 Ogos 2015 10:59 PM

(Ubah saiz teks)

JAKARTA: Juara remaja dunia 2011, Zulfadli Zulkifli melakukan kejutan awal apabila menyingkirkan pemain nombor enam dunia, Chow Tien Chen dari Taiwan pada pusingan pertama Kejohanan Badminton Dunia di Istora Senayan di sini, Isnin.

Zulfadli membalas kepercayaan yang diberikan oleh Persatuan Badminton Malaysia (BAM) pada penampilan sulung pada kejohanan itu apabila hanya mengambil masa 38 minit untuk menyingkirkan lawan berusia 25 tahun itu dengan keputusan 21-5 dan 22-20.

Zulfadli, yang berada dalam undian sebelah atas bersama pilihan utama danpemain nombor satu dunia, Chen Long, akan menentang pemain Ireland, Scott Evans, pada pusingan kedua, Selasa.

Evans, pemain nombor ke-26 dunia, turut melepasi pusingan pembukaan dengan mengalahkan pemain Finland, Heino Eutu. Sebelum ini, pada pertemuan sulung dengan Evans pada Terbuka Denmark 2012, Zulfadli kalah 21-19 dan 21-14.

Sekiranya Zulfadli dapat meneruskan momentum kejutan, pemain berusia 21 tahun itu dijangka bertemu dengan pemain ranking ke-13 dunia, Tommy Sugiarto dari Indonesia atau  wakil Hong Kong, Wei Nan pada pusingan ketiga.

Seorang lagi wakil Malaysia dalam acara perseorangan lelaki, Datuk Lee Chong Wei, yang disenaraikan bersama musuh tradisi Lin Dan dari China dalam undian sebelah bawah, akan membuka langkah dengan menentang pemain Lithuania, Navickas Kestutis pada Selasa.

Ketika ditemui selepas perlawanan, Zulfadli, yang menghuni ranking ke-38 dunia, berkata beliau bertarung dengan penuh semangat dan sentiasa menganggap sedang berhadapan dengan orang ternama dalam dunia badminton.

"Tien Chen memang lebih hebat tetapi saya sudah fokus terhadap permainan sendiri dan saya turun sebagai pemain bukan pilihan kerana Tien Chen adalah pemain nombor enam dunia," kata beliau.

Kejayaan mengetepikan Tien Chen pada pertemuan pertama antara kami telah menambah keyakinan saya untuk membuktikan sesuatu dalam kejohanan ini, kata Zulfadli.

Dalam acara perseorangan wanita, wakil negara Tee Jing Yit hanya memerlukan masa 26 minit untuk mara ke pusingan kedua apabila mengalahkan pemain Itali, Jeanine Cicognini 21-13 dan 21-8.

Bagaimanapun, seorang lagi pemain wanita, Lydia Cheah kalah mengejut  kepada pemain Turki, Ozge Bayrak, dengan keputusan 25-23 dan 21-13.

Sementara itu, beregu campuran negara, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying, turut mara ke pusingan kedua selepas menewaskan gandingan Amerika Syarikat, Howard Shu-Eva Lee dengan keputusan 21-19 dan 21-18.

Pasangan itu dijadual menentang pilihan kesembilan dunia, Lee Chun Hei Reginald-Chau Hoi Wah dari Hong Kong di pusingan kedua.


Keputusan Pemain Malaysia: (Pusingan Pertama) 

Perseorangan Lelaki:

Zulfadli Zulkifli bt Chou Tien Chen (TPE) 21-5, 22-20

Perseorangan Wanita:

Tee Jing Yi mn Jeanine Cicognini (ITA) 21-13, 21-9

Lydia Cheah (MAS) kk Ozge Bayrak (TUR) 23-25, 13-21

Beregu Wanita:

Amelia Alicia Anscelly/Soong Fie Cho mn Gabriela Stoeva/StefaniStoeva (CZE) 21-8, 21-9

Joyce Choong Wai Chi-Yap Chen Wen (MAS) mn Victoria Dergunova-OlgaMorozova (RUS) 21-18, 21-12

Lim Yin Loo-Lee Meng Yean (MAS) mn Vanessa Neo-Shinta Mulia Sari (SIN)19-21, 22-20, 21-19.

Beregu Campuran:

Chan Peng Soon-Goh Liu Ying mn Howard Shu-Eva Lee (USA) 21-19, 21-18

Tan Aik Quan/Lai Pei Jing mn Vitalij Durkin-Nina Vislova (RUS)15-21, 21-15, 2-3 (tarik diri)

Tan Chee Tean-Shevon Lai kk Ronan Labar-Emillie Lefe (FRA) 21-18, 22-20

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan