Lee Chong Wei, Zulfadli Zulkiffli Dipilih Ke Kejohanan Dunia

Diterbitkan: Isnin, 11 Mei 2015 6:12 PM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Persatuan Badminton Malaysia (BAM)  menamakan bekas pemain nombor satu dunia Datuk Lee Chong Wei dan bekas juara remaja Zulfadli Zulkiffli untuk mewakili negara ke Kejohanan Dunia 2015 di Jakarta, Ogos ini.

Berikutan itu, BAM terpaksa mengetepikan Chong Wei Feng daripada senarai ke kejohanan dunia itu.

Pengumuman itu dibuat oleh Presiden BAM Tan Sri Tengku Mahaleel Tengku Ariff selepas mesyuarat tergempar exco persatuan itu di pejabat BAM di Bukit Kiara di sini, Isnin.

Chong Wei membuktikan beliau pemain nombor satu Malaysia susulan kejayaannya  menewaskan pemain Korea Selatan Lee Dong Keun 21-12 dan 21-10 pada Piala Sudirman pada Ahad malam, penampilan pertamanya selepas digantung lapan bulan akibat kesalahan menggunakan bahan terlarang.

"Datuk telah menunjukkan pencapaian amat baik dan kami membuat keputusan ini kerana prestasinya malam tadi. Jika tidak menyenaraikannya, akan menjejaskan peluang negara untuk memenangi pingat...sebab itu, jawatankuasa bersetuju dengan saranan supaya Datuk mewakili negara.

"Antara Wei Feng dan Zulfadli, Wei Feng lebih berumur dan telah dua kali menyertai Kejohanan Dunia. Zulfadli pula masih muda, baru berusia 23 tahun. Kami memutuskan bahawa berdasarkan prinsip dan falsafah kami, Zulfadli dipilih ke kejohanan itu," katanya kepada pemberita.

Persekutuan Badminton Dunia (BWF) membenarkan hanya hanya dua pemain perseorangan dari negara anggota untuk beraksi dalam kejohanan itu.

Wei Feng, yang kini disenaraikan di tempat ke-31 manakala Zulfadli di tempat ke-41 yang lebih tinggi daripada kedudukan ke-45 Chong Wei,  layak berdasarkan merit.

Sementara itu, Tengku Mahaleel mengesahkan bahawa BAM akan terus menyokong Wei Feng ke Sukan Olimpik 2016 di Rio, Brazil. 

"Kami berbincang dengan Wei Feng dan beliau bersikap amat positif dengan keputusan itu. Beliau menyedari pentingnya program BAM sekarang dan kami sekali lagi memberi jaminan akan memberi sokongan penuh kepadanya untuk layak ke Sukan Olimpik Rio.

"Apa sahaja yang diperlukannya sama ada latihan lanjut atau jurulatih lain, kami akan melakukannya. Kami telah berbincang dengannya. Ia amat baik kerana pemain itu sendiri menyokong keputusan itu," katanya.

Ditanya mengenai sasaran pada kejohanan itu, Tengku Mahaleel berkata sesiapapun yang menyertainya termasuk Chong Wei akan membuat persiapan minda sepatutnya.

"Apabila kami menyertai sesuatu kejohanan, sudah tentulah kami mahu dan mesti menang. Saya dapat lihat bahawa Chong Wei akan mempunyai kekuatan mental sama. Jika tidak, beliau tidak akan berada satu dekad (dalam ranking dunia)," katanya.

Chong Wei pernah menjadi naib juara Kejohanan Dunia 2011 dan 2013.

Tags / Kata Kunci: Jakarta , Lee Chong Wei

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan