Terbuka Malaysia: Chen Long Harap Sokongan Peminat Tempatan

Diterbitkan: Khamis, 2 April 2015 8:21 PM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Walaupun mara ke suku akhir Siri Super Premier Terbuka Malaysia, pemain badminton nombor satu dunia, Chen Long sedikit kecewa dengan kehadiran penonton yang tidak ramai di Stadium Putra, Bukit Jalil di sini.


Bagaimanapun, pemain China itu menyedari keadaan itu mungkin disebabkan ketiadaan jaguh negara Datuk Lee Chong Wei yang kini menghadapi penggantungan sementara kerana gagal dalam ujian doping semasa Kejohanan Dunia di Copenhagen, Ogos tahun lepas.

"Saya tahu Chong Wei tidak boleh beraksi pada kejohanan ini tetapi berharap peminat di Malaysia akan memberikan sokongan kepada semua pemain lain yang bertanding di sini.

"Saya turut berharap Chong Wei akan dibebaskan daripada penggantungan secepat mungkin dan menyertai kami semula," kata pemain berusia 26 tahun itu yang memburu gelaran sulung Terbuka Malaysia kali ini.

Pada saingan pusingan kedua hari ini, Chen Long, selaku pilihan utama kejohanan, dengan mudah menewaskan pemain India, Parupalli Kashyap, 21-10, 21-6 dalam masa 35 minit.

Chen Long, yang menjuarai All England bulan lepas, akan menentang pemain Jepun, Kento Momota pada suku akhir pada Jumaat.

Kento melangkah ke suku akhir selepas mengalahkan pemain Hong Kong, Hu Yun21-6, 21-9 pada perlawanan pusingan kedua.

"Saya memperagakan aksi normal hari ini dan mahu berehat selepas ini. Saya hanya mahu memberi tumpuan pada perlawanan demi perlawanan dan tidak tahu siapa lawan saya di final," kata Chen Long.

Selain Chen Long, juara dunia lima kali, Lin Dan dari China dan pemain Denmark, Jan O Jorgensen merupakan antara pemain pilihan untuk merangkul kejuaraan julung Terbuka Malaysia. -BERNAMA

Tags / Kata Kunci: Chen Long , Terbuka Malaysia , Badminton

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan