Tenis BMW: Wozniacki Bertemu Dulgheru Di Pentas Akhir

Diterbitkan: Ahad, 8 Mac 2015 5:14 AM

Wozniacki menepati ramalan mara ke aksi final Terbuka Malaysia BMW pada Ahad.

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Pemain bukan pilihan, Alexandra Dulgheru dari Romania terus mencipta kejutan apabila mara ke perlawanan akhir kejohanan tenis Terbuka Malaysia BMW 2015 selepas menewaskan pilihan keempat Jarmila Gajdosova dari Australia pada separuh akhir pada Sabtu.


Namun, kejayaan yang dicipta Dulgheru itu bukannya mudah kerana terpaksa berhempas pulas selama tiga jam 14 minit, sebelum mengenepikan cabaran Gajdosova 5-7, 7-5, 7-6(4).

Menanti Dulgheru pada perlawanan akhir yang berlangsung di Kelab Golf Diraja Selangor (RSGC) pada Ahad, ialah pemain pilihan utama Caroline Wozniacki dari  Denmark.

Wozniacki mara ke pentas final selepas menumpaskan juara Terbuka Malaysia BMW 2012, Hsieh Su-Wei dari Taiwan 6-2 6-2 pada satu lagi aksi separuh akhir yang berlangsung selama satu jam 17 minit. 

"Secara jujur, saya tidak percaya dapat memenangi perlawanan malam ini. Saya sungguh gembira dan pada masa sama, saya berasa gementar serta kecewa akibat keletihan menyebabkan pergerakan saya perlahan.  

"Saya terus berusaha sehingga tamat perlawanan tetapi saya benar-benar letih. Saya mengakui bahawa pukulan servis beliau (Gajdosova) amat baik," kata Dulgheru.

Sebelum ini, Dulgheru mengejutkan pemain pilihan kedua Sabine Lisicki dari Jerman pada pusingan pertama, menewaskan pemain China, Duan Ying-Ying di pusingan kedua dan menumpaskan pilihan kelapan dan pemain ke-65 dunia, Julia Goerges 7-6(5) dan 7-5 di suku akhir.

Dulgheru memenangi lapan gelaran perseorangan serta tiga gelaran beregu Sirkit Persekutuan Tenis Antarabangsa (ITF), selain dua kejuaraan perseorangan kejohanan Persatuan Tenis Wanita (WTA), manakala Wozniacki meraih empat gelaran perseorangan ITF serta 22 gelaran perseorangan dan dua gelaran beregu kejohanan WTA.

Untuk rekod, Wozniacki yang juga pemain ranking kelima dunia telah mengalahkan Dulgheru, yang berada di kedudukan ke-94 dunia, sebanyak dua kali dalam kejohanan WTA iaitu pada Terbuka Perancis 2010 dan Terbuka Qatar 2015.  

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan