Terbuka Malaysia BMW: Wozniacki Mudah Mara Ke Suku Akhir - Raket | mStar

Terbuka Malaysia BMW: Wozniacki Mudah Mara Ke Suku Akhir

Diterbitkan: Khamis, 5 Mac 2015 9:19 PM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Pemain nombor lima dunia, Caroline Wozniacki menepati ramalan mara ke suku akhir Kejohanan Tenis Terbuka Malaysia BMW selepas menewaskan pemain dari China, Lin Zhu 6-4 6-1 pada pusingan kedua di Kelab Golf Diraja Selangor (RGSC), petang Khamis.

Wozniacki yang menjadi pemain pilihan pertama kejohanan ini mengetepikan pemain muda China berusia 21 tahun dalam tempoh 1 jam 15:47 saat. 

Berusia 24 tahun, Wozniacki tampil mempamerkan aksi mantap pada set pertama biarpun cuba dikejar Lin Zhu.

Pada set kedua, Wozniacki terus garang mengutip mata demi mata, dan ketika kedudukan 5-0, Lin Zhu berjaya mencuri satu mata.

Bagaimana pun, pengalaman memisahkan kedua-dua pemain ini yang menyaksikan bekas pemain no.1 dunia (2010) itu menamatkan permainan dengan keputusan 6-1.

Wozniacki bakal berdepan dengan pemain berusia 20 tahun dari Jerman, Carina Witthoeft yang mengetepikan Klara Kaoukalova 7-6 (3) 6-0 pada satu lagi aksi pusingan kedua sebelum ini.

Turut mara ke suku akhir ialah pemain dari Jerman, Julia Goerges apabila mengalahkan Kateryna Kozlova 6-1 6-2.

“Saya berpuashati dengan corak permainan hari ini dengan terus memberi tekanan kepada lawan. 

“Saya akan cuba mengekalkan rentak permainan ini seterusnya mencari slot ke separuh akhir nanti,” jelasnya selepas perlawanan.

   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan