Suku Akhir Tenis Terbuka Dubai: Andy Murray Tewas Ditangan Pemain Muda Berusia 18 Tahun

Diterbitkan: Jumaat, 27 Februari 2015 7:44 PM

Andy Murray

(Ubah saiz teks)

> Bintang muda Borna Coric tewaskan Andy Murray 6-1 6-3

> Pemain Croatia berusia 18 tahun itu akan berhadapan dengan Roger Federer di separuh akhir

> Prestasi Murray jatuh menjunam selepas final Terbuka Australia

PRESTASI naib juara Terbuka Australia, Andy Murray terus menjunam dari satu kejohanan selepas satu kejohanan yang menyaksikannya dimalukan oleh pemain muda berusia 18 tahun dari Croatia, Borna Coric di suku akhir Terbuka Dubai yang berlangsung pada malam Khamis.

Bekas juara Grand Slam dan legenda tenis Andre Agassi menyifatkan apa yang sedang dilalui oleh Murray sekarang sebagai 'jiwa sempurna yang merana'.

Agassi, bagaimanapun dalam nada yang positif menegaskan, ada hikmah di sebalik kekalahan Murray yang terbaru ini kerana dia boleh pulang ke Scotland dan menumpukan perhatian kepada pasukan Great Britain yang akan bertemu dengan Amerika Syarikat dalam Kejohanan Piala Davis minggu depan.

Murray, pemain ranking nombor tiga dunia tidak dapat menemui rentak yang diperlukannya untuk bangkit melawan Coric sehingga melakukan 56 'unforced errors' dan hanya mampu mengutip lima mata dalam keseluruhan perlawanan itu.

Pemain dari Scotland itu memulakan kalendar 2015 dengan cemerlang apabila dia mara ke final pembuka tirai kejohanan Grand Slam iaitu Terbuka Australia.

Tetapi Februari menjadi bulan yang ingin dilupakannya. Dia tewas kepada Gilles Simon di Terbuka Rotterdam dan kini di Dubai.

Jika Coric mampu menumpaskan pemain pilihan kedua,Federer, dia akan mencipta nama baru dalam dunia tenis sepertimana pemain muda Australia, Nick Kyrgios dan Thanasi Kokkinakis serta pemain baru dari Jerman, Alexander Zverev sebagai generasi baru yang perlu diberi perhatian.

Satu lagi perlawanan separuh akhir akan menyaksikan pemain nombor satu dunia, Novac Djokovic menentang Tomas Berdych iaitu pilihan keempat kejohanan.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan