Khairy Tak Akan Campur Tangan Kes Saman Chong Wei Terhadap Razif

Diterbitkan: Khamis, 4 Disember 2014 8:09 AM

Khairy Jamaluddin

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin berkata beliau tidak akan campur tangan dalam kes saman Datuk Lee Chong Wei terhadap Razif Sidek dan sebuah akhbar berbahasa Melayu, kerana perkara itu bersifat peribadi.

Katanya, jaguh badminton negara itu mempunyai reputasi yang perlu dijaga dan terpulang kepadanya untuk mengambil tindakan undang-undang.

"Saya sudah beritahu Chong Wei bahawa dia boleh mengambil tindakan itu jika dia mahu...saya juga tidak menggalakkan dia untuk saman Razif dan tidak juga menghalangnya kerana ini soal peribadi dan dia ada reputasi untuk dijaga," katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas menyampaikan ceramah bertajuk 'Modal Insan Malaysia Ke Arah Ekonomi Berpendapatan Tinggi' di Universiti Teknologi Malaysia, di sini Rabu.

Pada Selasa, Chong Wei, 32, mengesahkan akan mengambil tindakan undang-undang terhadap bekas pemain badminton negara itu dan sebuah akhbar harian berbahasa Melayu yang mendakwa beliau telah menggunakan bahan yang dilarang untuk satu jangka masa yang lama.

Razif juga dipetik dalam akhbar itu pada 11 November lepas sebagai berkata perbuatan Chong Wei itu disedari oleh pegawai-pegawai dari Persatuan Badminton Malaysia (BAM).

Pemain badminton nombor satu dunia itu dilaporkan telah menyerahkan surat tuntutan melalui pasukan undang-undangnya Song and Partners kepada Razif dan akhbar harian itu minggu lepas.

Pada bulan lepas, Persekutuan Badminton Dunia (BWF) menggantung Chong Wei daripada menyertai semua kejohanan selepas sampel A dan B beliau didapati positif untuk bahan dexamethasone yang diharamkan.

Chong Wei, yang gagal ujian doping pada Kejohanan Dunia di Copenhagen pada 30 Ogos lepas digantung sehingga pendengaran dijalankan oleh BWF dan bakal berdepan penggantungan selama dua tahun.

Pada perkembangan lain Khairy berkata, beliau akan menjalankan temuduga seawal minggu depan bagi mengenal pasti calon jawatan Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN) bagi menggantikan Datuk Seri Zolkples Embong.

 "Saya akan temuduga sendiri calon tersebut dan buat masa ini saya belum membuat apa-apa keputusan. Saya akan baca semua permohonan dan akan bincang dengan Ketua Setiausaha kementerian untuk senarai pendek calon dan panggil untuk temuduga...paling cepat mungkin minggu depan," katanya.

Dilaporkan, 43 calon telah memohon jawatan itu.

Jawatan itu diiklankan di laman sesawang rasmi kementerian bermula 4 Nov lepas, selepas Zolkples diumumkan sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Sukan SEA 2017.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan