Piala Axiata: Indonesia Benam Malaysia 4-0

Diterbitkan: Sabtu, 29 November 2014 7:32 PM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Skuad badminton negara terpaksa akur dengan kehebatan Indonesia apabila tewas 0-4 pada aksi ketiga pusingan awal Kejohanan Badminton Piala Axiata 2014 di Bratama Arena, Jakarta pada Sabtu.

Episod malang skuad Malaysia bermula dengan kekalahan perseorangan lelaki, Chong Wei Feng kepada Dionysius Hayom Rumbaka 19-21, 11-21 sebelum perseorangan wanita, Tee Jing Yi dijinakkan Bellaetrix Manuputty 8-21, 10-21.

Malaysia ketinggalan 0-3 apabila beregu lelaki Indonesia, Muhammad Ahsan-Markis Kido menepati ramalan dengan mengalahkan pasangan negara, Tan Boon Heong-Tan Wee Kiong 21-17, 21-13.

Pasukan negara terus kempunan mendapatkan mata apabila beregu campuran, Chan Peng Soon-Lai Pei Jing tumpas kepada beregu nombor empat dunia, Tontowi Ahmad-Liliyana Natsir 13-21, 16-21, demikian menurut laman sesawang kejohanan axiatacup.com, Sabtu.

Indonesia mengungguli carta kedudukan kejohanan selepas mencatat dua kemenangan dengan mengutip 10 mata, diikuti Thailand dan Malaysia yang masing-masing mengutip tujuh dan enam mata di tempat kedua dan ketiga, selepas kedua-dua pasukan turut menang dua kali.

Asia All Star yang mengutip tujuh mata, bagaimanapun berada di kedudukan keempat selepas hanya menang satu daripada tiga perlawanan pusingan awal.

Kesemua pasukan masih berbaki empat perlawanan pusingan awal untuk merebut empat slot ke separuh akhir yang akan diadakan di Stadium Badminton Cheras, Kuala Lumpur pada 6 dan 7 Dis ini.

Malaysia bakal berdepan saingan sengit Thailand pada aksi keempat manakala Indonesia dijangka tidak menghadapi masalah mengutip mata apabila bertemu Filipina, esok.

Selain Malaysia selaku juara bertahan, kejohanan itu turut disertai Indonesia, Thailand, Filipina, Vietnam, Singapura serta dua pasukan jemputan, Asia All Star dan European All Star.


Tags / Kata Kunci: Badminton , Indonesia

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan