Chong Wei Berlepas Ke Norway, Nantikan Keputusan Sampel B

Diterbitkan: Selasa, 4 November 2014 9:27 AM

Pemain badminton kebangsaan, Datuk Lee Chong Wei dilihat menunggu di balai berlepas pada malam Isnin. Beliau akan berlepas ke Olso bagi menantikan keputusan sampel B dalam isu doping yang sedang dihadapinya. - Foto ROHAIZAT MD DARUS/THE STAR.

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Pemain nombor satu dunia, Datuk Lee Chong Wei terus mendapat sokongan padu semua pihak walaupun beliau berada dalam kebimbangan sementara menantikan keputusan Sampel B yang akan diuji pada Rabu ini. 

Pada Isnin, Chong Wei mendapat sokongan moral apabila beliau dimaklumkan mengenai pelantikan seorang peguam ternama dari Eropah yang turut menemaninya ke Oslo, Norway. 

Pemain badminton negara itu terpalit dengan skandal doping sleepas dia dipercayai gagal dalam ujian doping yang dijalankan ketika Kejohanan Badminton Dunia di Copenhagen, Denmark, Ogos lalu. 

Selepas mengadakan mesyuarat tergempar Ahad lalu, Persatuan Badminton Malaysia (BAM) mengakhiri spekulasi selepas mereka mengesahkan Persekutuan Badminton Dunia (BWF) mengesahkan salah seorang daripada pemain badminton negara gagal dalam ujian doping yang dijalankan pada 2 Oktober lalu. 

Dalam sampel air kencing pemain badminton negara didapati mengandungi sejenis bahan kimia, dexamethasone, yang merupakan bahan bukan untuk meningkatkan prestasi atlet, sebaliknya bahan itu merupakan sejenis steroid untuk rawatan perubatan dengan kesan anti-radang yang kebiasaannya digunakan dalam rawatan pemulihan atlet.

Menurut sumber: "Kita mahukan khdimat yang terbaik untuk membantu atlet berkenaan. BAM telah melantik seorang peguam ternama untuk mewakili beliau dan mendapat nasihat daripadanya. Peguam ini merupakan seorang yang pakar dalam undang-undang sukan dan beliau mempunyai pengalaman dalam isu doping. Semua pihak memberi sokongan padu dan doa kita juga bersama beliau. Kita mengharapkan keputusan yang baik akan diperoleh."

Selain daripada peguam, Chong Wei turut ditemani oleh Ketua Pegawai Eksekutif Institut Sukan Negara, Datuk Dr Ramlan Aziz dan Pengurus Kanan BAM, Kenny Goh. 

Jurulatih dan pemain negara yang lain yang ditemui ketika sesi latihan di Bukit Kiara pada Isnin, turut mendoakan kejayaan rakan sepasukan mereka. 

Salah seorang daripada mereka berkata: "Apa yang boleh kami lakukan ketika ini ialah mengharapkan keputusan yang terbaik." 

Jika keputusan sample B Chong Wei, negatif, beliau akan bebas daripada tuduhan doping. 

Sekiranya positif, makmal akan menghantar keputusan tersebut kepada BWF. Badan berkenaan akan mengenaipasti atlet berkenaan melalui BAM. 

Proses berkenaan akan mengambil masa pada hari yang sama atau ia mungkin memakan masa beberapa hari. 

BWF akan mengadakan sesi pendengaran sebelum membuat keputusan bentuk hukuman yang akan diambil. 

Hukuman maksimum yang boleh dikenakan ialah menggantung pemain berkenaan untuk tempoh dua tahun bergantung kepada pelbagai faktor, termasuk tujuan atlet berkenaan mengambil bahan terlarang itu serta rekod prestasi atlet sepanjang kerjayanya sebagai pemain antarabangsa. 

Tags / Kata Kunci: Chong Wei , doping , Sampel B

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan