Tukar Jurulatih: Chong Wei Serah Keputusan Kepada BAM

Diterbitkan: Selasa, 7 Oktober 2014 10:57 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Pemain badminton no.1 dunia, Datuk Lee Chong Wei menyerahkan keputusan sama ada beliau perlukan jurulatih baharu atau tidak kepada Persatuan Badminton Malaysia (BAM).

Apa yang diperlukan Chong Wei kini adalah rehat selepas bekerja keras pada Sukan Asia yang berakhir minggu lalu.

Malah Chong Wei yang tewas kepada pemain handalan China, Lin Dan pada aksi separuh akhir di Incheon itu turut meminta untuk menarik diri daripada beraksi pada Terbuka Denmark nanti.

Pada Jumaat lalu, bekas juara dunia, Han Jian memberi pandangan agar Chong Wei perlu menukar jurulatih bagi membawanya ke peringkat yang lebih tinggi.

Han Jian merasakan Chong Wei memerlukan perubahan selepas terkandas dalam dua kejohanan besar tahun ini.

Chong Wei berada di bawah bimbingan Tey Sei Bock sejak tahun 2010, manakala ketua jurulatih perseorangan Rashid Sidek dan bekas juara dunia dari Indonesia Hendrawan turut bekerjasama dengan pemain ini.

Selain tewas kepada Lin Dan, jaguh Malaysia ini juga turut tewas kepada Chen Long pada aksi final Kejohanan Dunia di Copenhagen Ogos lalu.

Namun Chong Wei yang bakal menyambut hari lahirnya yang ke-32 pada 21 Oktober ini tidak mahu terlalu memikirkan cadangan Han Jian itu.

"Sesetengah orang menyuruh agar jurulatih ditukar, namun saya tidak mendengar apa-apa keputusan daripada BAM," jelas Chong Wei yang dijangka akan terus menjalani latihan bersama jurulatih Seu Bock selepas ini.

"Saya tidak pasti apa rancangan BAM...mereka tidak berbincang dengan saya. 

"BAM mahu mengkaji kembali pengurusan pemain perseorangan lelaki...jadi biarlah mereka melakukan  kerja itu terlebih dahulu.

"Lebih baik saya simpan dahulu pandangan saya mengenai perkara ini.

"Memang akui ini tahun ini merupakan musim yang sukar dan saya mahu menghadapi situasi ini dengan baik dan lancar. Selepas ini tidak ada lagi kejohanan besar dan saya hanya mahu berehat.

"Saya telah meminta kebenaran untuk tidak beraksi dalam beberapa kejohanan akan datang, dan masih menunggu maklum balas daripada mereka," jelas Chong Wei.

Chong Wei berjaya merangkul empat gelaran juara dalam sepuluh kejohanan tahun ini - Terbuka Malaysia, All England, Terbuka India dan Terbuka Jepun.

Selain Sukan Asia dan Terbuka Indonesia, beliau berjaya melangkah kaki ke final dalam lapan kejohanan sebelum ini.

Tags / Kata Kunci: BAM , Lee Chong Wei

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan