Hendrawan Ganti Seu Bock Hanya Spekulasi - Norza

Diterbitkan: Khamis, 2 Oktober 2014 8:05 PM

Norza Zakaria.

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Desas-desus bahawa jurulatih pelapis skuad badminton negara Hendrawan bakal menggantikan Tey Seu Bock sebagai jurulatih kepada jaguh badminton negara Datuk Lee Chong Wei hanya merupakan spekulasi semata-mata.

Timbalan Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM) Datuk Mohamad Norza Zakaria berkata BAM sehingga kini masih belum membuat sebarang keputusan berhubung isu tersebut.
 
"Saya tidak dapat memberi sebarang keputusan kerana kita perlu mendapatkan nasihat presiden BAM (Tan Sri Tengku Mahaleel Tengku Ariff)
sendiri. Lagipun pemain baru sahaja pulang daripada Temasya Sukan Asia," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Media tempatan melaporkan bahawa Hendrawan bakal 'dinaikkan pangkat' untuk membantu ketua jurulatih perseorangan negara Rashid Sidek bagi mempersiapkan Chong Wei menghadapi Sukan Olimpik 2016 Rio de Janeiro, Brazil.

Seu Bock dikatakan bersedia mengundur diri daripada melatih Chong Wei berikutan kegagalannya membantu jaguh dunia itu mara ke final Sukan Asia 2014 di Incheon, Korea Selatan.

Chong Wei tersingkir pada pusingan separuh akhir di tangan musuh ketatnya Lin Dan dari China, 22-20, 12-21 dan 9-21.

Norza seterusnya berkata BAM bakal mengadakan mesyuarat bagi membincang dan merangka pelan masa hadapan untuk skuad badminton negara.

Hendrawan, yang melatih skuad pelapis kebangsaan sejak 2009, sehingga kini dilihat masih belum berhasil melahirkan pemain yang boleh menyamai atau sekurang-kurangnya hampir sama dengan prestasi dipamerkan Chong Wei.
Tags / Kata Kunci: BAM , Tey Sue Bock , Hendrawan , Norza Zakaria

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan