Chong Wei Mahu Berehat Selepas Terbuka Denmark

Diterbitkan: Selasa, 30 September 2014 11:47 PM

Lee Chong Wei.

(Ubah saiz teks)

SEPANG: Pemain badminton nombor satu dunia, Datuk Lee Chong Wei, menyuarakan hasratnya untuk berehat selepas Kejohanan Terbuka Denmark pertengahan bulan ini, sebagai persiapan menghadapi Kejohanan Seluruh England dan Terbuka Malaysia tahun hadapan.

Beliau akan membincangkan perkara itu dengan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) selepas pulang daripada kejohanan itu nanti.

"Saya perlu berehat agak panjang untuk bersedia (menghadapi Kejohanan Seluruh England dan Terbuka Malaysia). Saya akan bincang dengan BAM selepas Terbuka Denmark," katanya kepada media sejurus tiba dari Incheon, Korea Selatan di Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA) di sini, Selasa.

Chong Wei dijadualkan menyertai Terbuka Denmark, satu daripada kejohanan Siri Super Premier Persekutuan Badminton Dunia (BWF), dari 18 hingga 23 Oktober ini.

Menurutnya keputusan untuk berehat itu wajar berikutan tiadanya kejohanan yang perlu disertainya pada Januari dan Februari depan.

"Awal tahun depan tidak ada kejohanan besar, ia agak baik untuk saya berehat sebelum memulakan latihan dan tingkatkan prestasi bagi menghadapi All England dan Terbuka Malaysia," katanya.

Chong Wei juga mengakui prestasinya agak menurun selepas Kejohanan Dunia Denmark bulan lepas, namun menganggap pencapaiannya sehingga ke peringkat separuh akhir pada Sukan Asia Incheon adalah cukup bagus.

Mengenai kerjayanya dalam badminton, beliau berharap dapat terus bertahan untuk dua tahun lagi.

Ditanya mengenai kemungkinan BAM mengambil jurulatih baharu dari China untuk membantunya dan skuad badminton negara, Chong Wei berkata beliau menerima apa sahaja keputusan BAM.

BAM dilaporkan bakal melantik beberapa jurulatih baharu termasuk He Guo Quan, iaitu bekas jurulatih pemain perseorang lelaki Lin Dan dan pemain perseorangan wanita Li Xueriu.

Sementara itu, jurulatih perseorangan lelaki Tey Seu Bock berkata langkah BAM membawa jurulatih mungkin memberi kebaikan kepada Chong Wei.

"Ia akan wujudkan satu perubahan ke arah kebaikan kepada Chong Wei...saya fikir, kita perlu buat perubahan atau sesuatu yang lain untuk Chong Wei (khususnya dalam menghadapi Sukan Olimpik)," katanya.

Menurutnya beliau tidak menghalang jika BAM mahu Chong Wei dikendalikan seorang jurulatih baharu.

"Jika perubahan itu penting dan untuk kebaikan Chong Wei, saya tidak kisah. Kita perlu cari formula untuk bantu kecemerlangan beliau. Saya nampak beliau begitu kecewa bila tewas kepada Lin Dan di Sukan Asia," katanya.


Tags / Kata Kunci: Lee Chong Wei , Terbuka Denmark

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan