Kejohanan Dunia: Chong Wei Semakin Hampiri Gelaran Dunia Pertama

Diterbitkan: Sabtu, 30 Ogos 2014 8:51 PM

(Ubah saiz teks)

COPENHAGEN: Jaguh badminton negara, Datuk Lee Chong Wei semakin menghampiri gelaran dunia pertamanya selepas berjaya menempah slot ke final Kejohanan Dunia 2014 yang berlangsung pada Sabtu.

Pada saingan separuh akhir di Ballerup Super Arena, Chong Wei diberi tekanan hebat oleh bintang muda tuan rumah, Viktor Axelsen namun beliau berjaya mengimbangi keadaan tersebut.

Perseorangan lelaki nombor satu dunia ini yang mendapat rentak permainan pada set kedua, tidak menoleh ke belakang lagi sebelum menutup aksi dengan kemenangan 21-9 dan 21-7 dalam masa 34 minit.

Kemenangan tersebut membolehkan Chong Wei membuat penampilan final buat kali ketiga selepas edisi 2011 di England dan 2013 di China.

Beliau gagal meraih gelaran dunia selepas disekat oleh musuh tradisinya, Lin Dan dari China pada 2011 manakala kekejangan otot yang dialami pada set penentuan berdepan pemain sama, dua tahun kemudian menyebabkannya terus kempunan.

Bercakap kepada pemberita selepas perlawanan menentang Axelsen, Chong Wei berkata beliau tidak menyangka mempunyai keyakinan luar biasa menentang pemain itu yang mendapat sokongan padu daripada penyokong sendiri.

"Sebelum datang ke kejohanan, saya belum pulih sepenuhnya daripada kecederaan (pangkal paha). Layak ke final untuk kali ketiga adalah satu kejutan.

"Saya turut memberikan semangat kepada diri sendiri bahawa saya boleh lakukannya dan fokus perlawanan demi perlawanan. Saya sudah layak ke final dan akan cuba berikan persembahan terbaik," katanya.

Anak jati Pulau Pinang ini menjelaskan, sekiranya menang pada aksi final pada Ahad, beliau menyifatkan ia merupakan hadiah hari Kemerdekaan Negara ke-57 yang paling bermakna sepanjang kariernya selaku pemain badminton.

Axelsen pula berkata beliau sudah mencuba yang terbaik untuk menumpaskan Chong Wei tetapi ternyata pemain Malaysia itu terlalu kuat buatnya.

"Saya sedikit kecewa dengan kekalahan ini, tetapi Chong Wei bermain sangat baik. Beliau bermain pantas berbanding saya. Saya cuba bermain baik tetapi tidak menjadi," kata pemain berusia 20 tahun ini.

Beliau merasakan Chong Wei mempunyai peluang besar menjulang kejuaraan.   

Dalam pada itu, jurulatih perseorangan lelaki negara, Tey Seu Bock yakin Chong Wei mampu meneruskan momentum kemenangan pada aksi final walaupun sedar bakal berdepan saingan sengit sama ada pilihan kedua Chen Long dari China atau pilihan kelima Tommy Sugiarto dari Indonesia.

Kedua-dua pemain berkenaan akan bertemu pada satu lagi aksi separuh akhir, lewat Sabtu untuk menentukan aksi ke final.

"Sejak beberapa hari lepas, saya lihat momentum permainan beliau (Chong Wei) agak tinggi tetapi final esok agak berbeza kerana beliau akan beraksi buat kali ketiga.

"Saya harap beliau tidak fikir kekalahan pada dua edisi lepas, sebaliknya lihat ke hadapan. Apa yang beliau perlu buat pada aksi final adalah kekal fokus dan nikmati permainannya," kata Tey. 

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan