Beregu Lelaki, Wanita Mara Ke Final

Diterbitkan: Sabtu, 2 Ogos 2014 10:58 PM

Pemain beregu wanita negara Vivian Kah Mun Hoo dan Khe Wei Woon ketika beraksi menentang beregu England pada perlawanan separuh akhir badminton beregu wanita di temasya Sukan Komanwel kali ke-20 Glasgow di sini hari ini. -Foto BERNAMA.

(Ubah saiz teks)

GLASGOW: Badminton menghidupkan peluang menambah pingat emas buat kontinjen negara apabila beregu lelaki dan wanita negara meraih tiket final Sukan Komanwel ke-20.

Pada separuh akhir, beregu lelaki negara Tan Wee Kiong-Goh V Shem mengekalkan prestasi cemerlang apabila sekali lagi menewaskan pasangan utama, Chris Adcock-Andrew Ellis dari England dengan straight set 21-19 dan 21-19.

Sebelum ini pasangan negara itu menewaskan Adcock-Ellis pada perlawanan akhir acara berpasukan campuran sekali gus meraih pingat emas buat kontinjen negara.

Wee Kiong berkata misi untuk mendapatkan pingat emas dalam acara beregu lelaki sangat penting bagi mereka yang dilihat sebagai pengubat kekecewaan ekoran kegagalan Chong Wei Feng pada suku akhir perseorangan lelaki.
 
"Semalam kami (skuad badminton) ada meluangkan masa, pemain lain banyak memberikan semangat kepada kami supaya berjuang habis-habisan. Penentuan pingat emas nanti penting untuk skuad badminton dan rakyat Malaysia, kami akan buat yang terbaik.
 
 
"Pada perlawanan hari ini, kami masih melakukan beberapa kesilapan dan kurang bersedia tetapi ketika di gelanggang kami mengingatkan diri masing-masing supaya terus memberikan fokus dan akhirnya kami menang," katanya kepada pemberita.

Wee Kiong akan bertemu Danny Chrisnanta-Chayut Triyachart dari Singapura pada final esok.

Untuk rekod, beregu lelaki negara pernah meraih pingat emas di Sukan Komanwel sebanyak enam kali berturut-turut iaitu menerusi Jalani Sidek- Razif Sidek pada 1990, Cheah Soon Kit-Soon Beng Kiang (1994), Choong Tan Fook-Lee Wan Wah (1998), Chan Chong Ming-Chew Choon Eng (2002), Chan Chong Ming-Koo Kien Keat (2006) dan Koo Kien Keat-Tan Boon Heong (2010).

Sementara itu beregu wanita menerusi Vivian Kah-Woon Khe Wei mengejutkan Gabriel Adcock-Lauren Smith dari England dengan straight set 21-16 dan 21-11 dalam satu lagi perlawanan separuh akhir.

Menanti Vivian-Khe Wei di final ialah juara bertahan Jwala Gutta-Ashwini Ponnanppa dari India yang meranapkan peluang satu lagi beregu negara Lai Pei Jing-Lim Yin Loo, 21-7 dan 21-12 untuk mara ke pusingan seterusnya.

"Final kali ini sungguh bermakna bagi saya. Empat tahun lepas saya tewas kepada pasangan ini di suku akhir (New Delhi, India).

"Pada ketika itu saya masih muda dan tidak matang namun pada tahun ini saya mahu merasai perasaan memenangi pingat emas di sini," kata Khe Wei.

Pencapaian terbaik beregu wanita pada Sukan Komanwel dengan memenangi pingat emas hadir menerusi Ang Li Peng-Lim Pek Siah pada 2002 dan Chin Eei Hui-Wong Pei Tty (2006).
Tags / Kata Kunci: Sukan Komanwel , badminton

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan