Terbuka Jepun: Chong Wei, Beregu Utama Mara Ke Suku Akhir

Diterbitkan: Khamis, 12 Jun 2014 11:39 PM

Lee Chong Wei.

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Jaguh perseorangan negara Datuk Lee Chong Wei dan beregu utama negara Hoon Thien How/Tan Wee Kiong melayakkan diri ke suku akhir Kejohanan Badminton Siri Super Terbuka Jepun 2014 di Tokyo.

Pada pusingan kedua awal Khamis, Chong Wei, selaku juara bertahan, mengalahkan pemain Jerman, Marc Zwiebler 21-13 dan 28-26 untuk berdepan dengan pilihan kelima Tommy Sugiarto dari Indonesia.

Tommy pula melangkah ke suku akhir dengan mengalahkan pemain veteran Jepun Sho Sasaki 21-12 dan 21-18 pada kejohanan bernilai US$250,000 (RM800,951) itu.

Beregu Hoon/Tan menewaskan beregu Thailand Maneepong Jongjit/Nipitphon Puanpuapech dengan 21-13 dan 21-17.

Mereka bagaimanapun terpaksa menghadapi laluan getir ke separuh akhir apabila menentang pilihan utama Mohammad Ahsan dan Hendra Setiawan dari Indonesia di peringkat suku akhir pada Jumaat.

Beregu Indonesia itu terpaksa mengambil masa 49 minit untuk menyingkirkan beregu Jepun, Takeshi Kamura/Keigo Sonoda dalam rubber-set 21-23, 21-12 dan 21-15.

Dalam pada itu, pemain perseorangan negara Chong Wei Feng ternyata gagal menandingi kehebatan juara Olimpik Lin Dan dari China apabila kalah dengan mudah 21-14 dan 21-14.

Satu lagi beregu lelaki negara, Goh V Shem/Tan Boon Heong kalah mengejut kepada beregu muda China Wang Yilv/Zhang Wen 21-19 dan 21-7 sementara beregu wanita negara Vivian Hoo/Woon Khe Wei mengalami nasib sama apabila kalah kepada beregu Jepun Reika Kakiiwa/Miyuki Maeda 21-18 dan 21-15.

Dalam acara beregu campuran, pasangan negara Chan Peng Soon/Lai Pei Jing kalah kepada pilihan utama Zhang Nan/Zhao Yunlei dari China dengan keputusan 21-16 dan 21-9.

Persatuan Badminton Malaysia (BAM) tidak menghantar pemain perseorangan wanita ke kejohanan tersebut.
Tags / Kata Kunci: Lee Chong Wei , Terbuka Jepun , suku akhir

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan