Soon Huat Isi Slot Keempat Perseorangan Lelaki Piala Thomas 2014

Diterbitkan: Sabtu, 3 Mei 2014 9:54 PM

Goh Soon Huat

Goh Soon Huat.

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Persatuan Badminton Malaysia (BAM) menamakan Goh Soon Huat sebagai pemain perseorangan lelaki keempat negara pada kejohanan Piala Thomas di New Delhi, India dari 18-25 Mei ini.

Presiden BAM Tengku Mahaleel Tengku Ariff, berkata keputusan menamakan pemain itu berbanding Ramdan Misbun Ramdan dibuat berdasarkan beberapa faktor termasuk sesi pemilihan yang diadakan di Stadium Juara, Bukit Kiara baru-baru ini selain prestasi setiap pemain negara dan laporan daripada Institut Sukan Negara (ISN).

"Keputusan ini dicapai sebulat suara (oleh ahli majlis BAM) dan ia berdasarkan prinsip ketelusan dan pemain yang mempamerkan aksi terbaik ketika ini yang sewajarnya mewakili negara (pada Piala Thomas nanti)," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis BAM di sebuah hotel di Subang Jaya, dekat sini, Sabtu.

Tengku Mahaleel optimis dengan peluang skuad Piala Thomas negara untuk sekurang-kurangnya layak ke separuh akhir berdasarkan ranking negara yang berada pada kedudukan keempat dunia.

Beliau berkata, skuad Piala Uber negara meletakkan sasaran ke suku akhir sebagaimana dinyatakan oleh jurulatih perseorangan wanita negara, Wong Tak Mei sebelum ini.

"Setiap negara semestinya mahu menang tapi realitinya kita merupakan pasukan bukan pilihan (terutamanya skuad wanita negara) namun ia bukan bermaksud kita tidak mahu meraih sebarang kejayaan.

"Sehubungan itu, kita beri lebih penekanan dari segi aspek sains sukan sebagai sebahagian daripada program latihan skuad badminton negara," katanya.

Beliau berkata, kedua-dua skuad berkenaan akan mula menjalani latihan pusat di Stadium Juara, Bukit Kiara dan mereka akan diletakkan di bawah satu tempat bagi memastikan fokus mereka tidak terjejas bagi menghadapi kejohanan berprestij itu.

Dalam pada itu, Tengku Mahaleel berkata BAM akan menyelaraskan program badminton yang melibatkan beberapa pihak termasuk Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Kementerian Pendidikan, Majlis Sukan Negara (MSN) dan Istitut Sukan Negara (ISN) di bawah satu bumbung bagi memastikan skuad negara dapat melahirkan lebih ramai pemain berbakat pada masa akan datang.

"Kita mendapati pesaing kita telah menunjukkan banyak kemajuan yang dicapai dalam beberapa aspek.

"Sebagai contoh di sebuah negara tersebut mempunyai 60 akademi badminton yang dimiliki oleh kerajaan dan hampir 4,000 pemain pelapis. Namun kita tidak mempunyai pemain seramai itu," katanya.

Setiap tahun kita hanya mampu menyenaraikan 12 pemain daripada Sekolah Sukan Bukit Jalil ke skuad pelapis negara dan jumlah itu jelas tidak mencukupi.

SKUAD PIALA THOMAS 2014:

Perseorangan: Datuk Lee Chong Wei, Chong Wei Feng, Liew Daren, Goh Soon Huat.

Beregu: Hoon Thien How/Tan Wee Kiong, Tan Boon Heong/Chan Peng Soo, Lim Khim Wah/Goh V Shem.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan