Kemunculan Semula Lin Dan Menang 2 Kejohanan Antarabangsa Untuk Gerunkan Pesaing Piala Thomas

Diterbitkan: Selasa, 29 April 2014 4:20 PM

Lin Dan ketika beraksi menentang Lee Chong Wei pada final Kejohanan Dunia di China Ogos tahun lalu.

(Ubah saiz teks)

BEKAS pemain badminton nombor satu dunia, Lin Dan yang kembali aktif daripada bersara dengan memenangi dua kejuaraan serentak berjaya berbuat demikian dengan bimbingan Li Yongbo iaitu ketua jurulatih skuad badminton China dalam usaha China untuk menanam perasaan gerun di kalangan pesaing Piala Thomas bulan depan.

Ini kerana dengan memenangi dua kejohanan tersebut, akan membuka laluan kepada Lin Dan untuk kembali semula sebagai salah seorang pemain perseorangan negara itu dalam skuad Piala Thomas bulan depan.

Bekas ketua jurulatih kebangsaan, Razif Sidek berkata, kemampuan Lin Dan untuk muncul kembali dan memenangi dua kejuaraan serentak adalah disebabkan bimbingan yang diberikan oleh Yongbo.

Lin Dan, 31, yang merupakan juara dunia sebanyak lima kali telah memenangi Kejohanan Badminton Asia di Korea Selatan Ahad lalu dan seminggu sebelum itu dia turut memenangi GP Emas China Master di Changzhou.

Kedua-dua kejohanan tersebut adalah penyertaannya yang pertama sejak kembali dari persaraan.

Kali terakhir Lin Dan beraksi di peringkat antarabangsa adalah pada Kejohanan Dunia Ogos tahun lalu.

Pada kejohanan itu Lin Dan memenanginya buat kali kelima selepas Lee Chong Wei yang merupakan nemesisnya nombor satu terpaksa menghentikan permainan akibat kecederaan.

Lin Dan yang kini merupakan pemain ranking ke-83 dunia kemungkinan besar akan disenaraikan dalam skuad Piala Thomas China ekoran persembahan cemerlangnya memenangi dua kejuaraan berturut-turut dalam masa seminggu.

Final Piala Thomas akan bermula di New Delhi, India dari 18-25 Mei.

Menurut Razif, Yongbo telah berjaya membangkitkan rasa gerun dan resah di kalangan pesaing-pesaing Piala Thomas dengan membawa kembali Lin Dan dari persaraan dan bukan itu sahaja malah membuatkannya memenangi dua kejuaraan antarabangsa berturut-turut.

Kata Razif lagi, tidak mustahil Lin Dan akan disenaraikan sebagai pemain perseorang ketiga China dalam skuad Piala Thomas nanti.

Yongbo kata Razif adalah seorang pakar taktik yang merupakan sebab utama mengapa China mendominasi arena badminton dunia pada masa ini.

Tags / Kata Kunci: Piala Thomas , Lin Dan , Razif Sidek , Li Yongbo

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan