Piala Uber: Nasib Gandingan Hui Lin-Hui Ern Diketahui Minggu Depan

Diterbitkan: Isnin, 28 April 2014 9:45 AM

Ng Hui Lin (kanan)dan Ng Hui Ern tidak dapat menghadiri sesi ujian pemilihan ke Kejohanan Piala Uber yang diadakan di Stadium Juara, Bukit Kiara pada Isnin.

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Gandingan adik-beradik Ng Hui Lin-Ng Hui Ern tidak dapat menghadiri sesi ujian pemilihan untuk Final Piala Uber yang akan berlangsung di Stadium Juara, Bukit Kiara di sini Isnin.

Mereka sedang menghadapi peperiksaan tahun akhir Ijazah Sarjana Muda Ekonomi di Universiti Loughborough, England.

Namun, Hui Lin-Hui Ern, yang merupakan beregu wanita No.1 negara, tidak akan berputus-asa untuk mewakili Malaysia pada aksi final kejohanan tersebut yang akan berlangsung dari 18 hingga 25 Mei ini di New Delhi.

"Kami sudah menyiapkan visa ke India. Kami sanggup mengatur perjalanan terus dari England ke India demi menjimatkan masa. Kami akan membawa bersama buku-buku kami. Ini adalah pengorbanan yang sanggup kami lakukan sekiranya terpilih beraksi pada Piala Uber," kata Hui Lin dalam temu bual menerusi telefon dari England.

Hui Lin dan Hui Ern dijangka menamatkan pengajian mereka pada Jun dan setakat ini mereka berjaya membuktikan mampu menyeimbangkan antara sukan dan pelajaran.

Selain mengekalkan purata nilai gred keseluruhan (CGPA) yang cemerlang pada setiap semester, kedua-duanya turut melayakkan diri ke Kejohanan Dunia di Copenhagen pada Ogos sebagai beregu wanita No.24 terbaik dunia.

Gandingan Woon Khei Wei-Vivian Hoo pula menduduki ranking ke-30 dunia manakala Amelia Anscelly-Soong Fie Cho ke-37 dan Lim Yin Loo-Lee Meng Yean ke-45.

“Hui Ern dan saya amat gembira untuk mara ke kejohanan Dunia sebagai antara gandingan terbaik. Kali ini sudah masuk tahun ketiga sejak kami meninggalkan Malaysia untuk menyambung pengajian. Namun kami berada bangga untuk mencapai kedudukan terbaik dunia.

"Segala usaha keras dan dedikasi kami untuk menyeimbangkan antara pelajaran dan sukan membuahkan hasil," kata Hui Lin.

Sementara itu, Setiausaha BAM, Ng Chin Chai berkata, nasib Hui Lin-Hui Ern akan diputuskan pada mesyuarat persatuan itu pada 3 Mei ini.

"Kami akan mengumumkan 10 pemain yang akan menyertai skuad Piala Thomas dan Piala Uber selepas mesyuarat tersebut,"katanya.
Tags / Kata Kunci: Hui Lin-Hui Ern , Piala Uber

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan