Tenis: Penganjur Sudah Bersedia Anjur Terbuka Malaysia

Diterbitkan: Sabtu, 29 Mac 2014 10:18 AM

Khairy Jamaluddin (tengah) melancarkan Forum Women@Work Forum di Putrajaya, Jumaat. Foto BERNAMA

(Ubah saiz teks)

PUTRAJAYA: Carbon Worldwide Sdn Bhd, penganjur Terbuka BMW Malaysia 2014 sudah bersedia menganjurkan kejohanan tenis wanita berprestij itu di Kelab Golf Diraja Selangor di sini dari 14 hingga 20 April.

Pengerusi Eksekutifnya, Keld Kristiansen berkata, mereka optimis kejohanan yang diiktiraf Persatuan Tenis Wanita (WTA) itu akan berjalan lancar walaupun keadaan cuaca tidak menentu seperti jerebu dan juga musim hujan melanda Lembah Klang ketika ini.

"WTA telah meminda peraturan berkenaan dengan cuaca, khususnya peraturan mengenai keadaan cuaca panas semasa kejohanan tetapi saya yakin pemain yang bertanding pada tahun ini akan dapat menyesuaikan diri dengan keadaan ini (panas terik).

"Kami juga boleh mengubah kejohanan ini menjadi acara dalam bangunan tetapi saya fikir peminat lebih suka jika ia diadakan di kawasan terbuka kerana ia merupakan acara mesra peminat yang membolehkan mereka menyertai aktiviti sampingan yang diadakan sepanjang kejohanan," katanya.

Kristiansen berkata demikian kepada pemberita pada majlis pelancaran Forum 'Women @ Work' anjuran General Electric, di lobi Kementerian Belia dan Sukan di sini, Jumaat.

Forum itu akan diadakan pada 17 April di VIP Marquee dekat tapak kejohanan itu dan ahli perbankan terkemuka Malaysia Datuk Yvonne Chia selaku moderator.

Antara penceramah pada forum itu ialah bekas pemain tenis nombor satu dunia Venus Williams, ratu skuasy Malaysia yang juga pemain skuasy wanita nombor satu dunia Datuk Nicol Ann David dan Presiden Mercy Malaysia Tan Sri Jemilah Mahmood.

Edisi keempat kejohanan tenis wanita paling berprestij di negara ini akan menyaksikan 32 pemain tenis terkemuka berentap untuk memenangi hadiah wang tunai

berjumlah US$250,000 (RM819,874) ditawarkan pada kejohanan ini.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan