Arif Muncul Juara Maybank Malaysia Kuching International Challenge 2013

Diterbitkan: Ahad, 17 November 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUCHING: Bekas pemain negara Mohd Arif Abdul Latif mengalahkan Ivanudian Rifan Fauzin untuk muncul juara Kejohanan Badminton Maybank Malaysia Kuching International Challenge 2013 di sini, Ahad.

Pada perlawanan akhir perseorangan lelaki di Stadium Perpaduan Negeri, Petra Jaya, di sini, Mohd Arif, 23, hanya mengambil masa 30 minit untuk mengalahkan pemain Indonesia itu dengan keputusan 21-12 dan 21-13.

Bagaimanapun, dua lagi wakil negara dalam perlawanan akhir dalam acara beregu lelaki dan beregu wanita gagal apabila kalah kepada lawan masing-masing.

Dalam acara beregu lelaki, Kah Ming Chooi/Ee Yi Teo kalah kepada beregu Indonesia Selvanus Geh/Alfian Eko Prasetya, 21-15 dan 21-13 dalam pertarungan singkat selama 24 minit.

Bagi kategori beregu wanita, gandingan Jepun, Kugi Asumi/Yui Miyauchi berjaya menewaskan pasangan negara, Amelia Alicia Anscelly/Fie Cho Soong, selaku pilihan utama, 21-17 dan 21-14 dalam masa 35 minit.

Dalam acara final perseorangan wanita, pemain Taiwan, Yan Ching Hsu mengalahkan rakan senegara Yu Po Pai, 21-6 dan 21-13.

Beregu campuran Indonesia Alfian Eko/Shendy Puspa Irawati hanya mengambil masa 23 minit untuk muncul juara dalam acara tersebut apabila mengetepikan pasangan Taiwan Chi Lin Wang/Ti Jung Wu, 21-15 dan 21- 16. -BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan