Terbuka Perancis: Thien How/Wee Kiong Buat Kejutan, Tewaskan Beregu Korea Selatan

Diterbitkan: Sabtu, 26 Oktober 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Beregu lelaki negara Hoon Thien How dan Tan Wee Kiong membuat kejutan mengenepikan gandingan Lee Yong Dae dan Yoo Yeon Seong dari Korea Selatan untuk mara ke pusingan separuh akhir Terbuka Perancis di Stadium Pierre De Coubertin, Paris.

Pada perlawanan suku akhir awal pagi tadi waktu Malaysia, Thien How dan Wee Kiong mudah menundukkan Yong Dae dan Yeon Seong 21-13 dan 21-10 dalam masa 33 minit.

Yong Dae merupakan seorang daripada pemain beregu lelaki nombor satu dunia yang digandingkan bersama Sung Hyun Ko manakala Yeon Seong adalah pemain nombor 11 dunia gandingan Baek Choel Shin.

Menanti Thien How dan Wee Kiong di saingan seterusnya itu ialah beregu utama negara Koo Kien Keat dan Tan Boon Heong yang menewaskan Chris Adcock dan Andrew Ellis dari England 21-11, 15-21, 21-17 dalam masa 54 minit, demikian menurut laman web kejohanan www.yonexifb.com.

Sementara itu, pemain nombor satu dunia Datuk Lee Chong Wei menepati ramalan apabila mudah mara ke pusingan separuh akhir selepas menundukkan pemain veteran Boonsak Ponsana dari Thailand 21-13 dan 21-17 dalam masa 35 minit.

Selaku pemain utama kejohanan, Chong Wei akan bertemu pemain pilihan ketiga kejohanan Kenichi Tago dari Jepun pada saingan separuh akhir, yang akan berlangsung pada pukul 9 malam Sabtu, waktu Malaysia.

Bagaimanapun nasib tidak menyebelahi beregu campuran negara Chan Peng Soon dan Goh Liu Ying yang terpaksa akur dengan kehebatan gandingan nombor satu dunia Zhang Nan dan Zhao Yunlei dari China 14-21 dan 12-21 dalam masa 32 minit pada perlawanan suku akhir itu. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan