Badminton: Dua Beregu Mara Ke Pusingan Kedua Terbuka Perancis

Diterbitkan: Khamis, 24 Oktober 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Beregu utama negara Koo Kien Keat dan Tan Boon Heong mengatasi halangan pertama untuk melangkah ke pusingan kedua Kejohanan Badminton Terbuka Perancis di Stadium Pierre De Coubertin, Paris, Rabu.

Pada perlawanan pembukaan, beregu nombor lima dunia itu, ketinggalan set pertama sebelum bangkit untuk mengalahkan beregu Jepun, Hirokatsu Hashimoto/Noriyasu Hirata dengan keputusan 18-21, 21-17 dan 21-16.

Pada pusingan kedua, beregu negara itu akan berdepan dengan gandingan Jerman, Michael Fuchs/Johannes Schoettler yang sebelum itu terpaksa bekerja keras untuk mengetepikan beregu England, Chris Langridge/Peter Mills dengan 26-24, 18-21 dan 21-16.

Selain Kien Keat/Boon Heong, beregu kedua negara Hoon Thien How/Tan Wee Kiong turut menempah tempat di pusingan kedua apabila mengalahkan beregu Poland, Adam Cwalina/Przemyslaw Wacha 21-19, 18-21 dan 21-15.

Beregu campuran negara Chan Peng Soon dan Goh Liu Ying akan membuka saingan dengan menentang gandingan Jepun Hirokatsu Hashimoto/Miyuki Maeda.

Persatuan Badminton Malaysia (BAM) tidak menghantar pemain wanita dalam acara perseorangan dan beregu pada kejohanan siri super bernilai US$200,000 (RM631,530) itu. -BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan