Nicol Mara Ke Pusingan Kedua Terbuka AS

Diterbitkan: Sabtu, 12 Oktober 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Ratu skuasy negara dan pemain nombor satu dunia Datuk Nicol David bermula baik dalam kempen mempertahankan kejuaraan Terbuka Amerika Syarikat apabila mara dengan mudah ke pusingan kedua kejohanan.

Dalam pusingan pertama yang berlangsung di Kline and Specter Squash Center di Drexel University, Philadelphia pada Sabtu, pemain berusia 30 tahun itu hanya mengambil masa 24 minit untuk mengetepikan cabaran pemain New Zealand, Kylie Lindsay dengan 11-5, 11-3 dan 11-7.

Nicol yang menjuarai Terbuka Carol Weymuller di New York minggu lepas, dipetik oleh laman sesawang kejohanan www.usopensquash.com, sebagai menyifatkan kemenangan itu satu permulaan yang baik baginya untuk mengekalkan momentum.

Untuk pusingan kedua beliau akan bertemu semula dengan lawannya di peringkat akhir Terbuka Carol Weymuller, Camille Serme selepas pemain Perancis itu menyingkirkan Samantha Cornett dari Kanada dengan 11-4, 11-6 dan 11-7 dalam satu lagi perlawanan pembukaan.

Pemain nombor dua negara Low Wee Wern yang menjadi pilihan keenam kejohanan akan bertemu pemain Australia Sarah Cardwell dalam perlawanan pembukaan yang dijadualkan lewat hari ini.

Bagi kategori lelaki, wakil tunggal negara Muhd Asyraf Azan yang sebelum ini terpaksa melepasi pusingan kelayakan, tunduk kepada kehebatan pemain Perancis, Gregoire Marche dengan 6-11, 4-11 dan 6-11 dalam perlawanan pembukaannya. -BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan