ATP Malaysia: Davydenko Kandas, Pospisil Mara Ke Aksi Kedua

Diterbitkan: Selasa, 24 September 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Pemain No.43 dunia, Nikolay Davydenko tewas mudah kepada Pablo Cuevas (Uruguay) 6-3 6-4 pada aksi pertama Kejohanan Tenis Terbuka ATP Malaysia, di Stadium Putra Bukit Jalil, Selasa.

Juara edisi 2009 ini, terpaksa akur dengan kekalahan ini dan tidak kesampaian untuk menebus kekecewaan tahun lalu yang terpaksa menarik diri pada set kedua suku akhir ketika bertemu bintang tenis dari Jepun, Kei Nishikori kerana kekejangan otot paha.

Pun begitu, aksi tidak memuaskan ini disebabkan oleh kecederaan pergelangan tangan yang dialaminya sebelum ini dan kemungkinan besar dia juga bakal menarik diri pada aksi beregu pada Selasa.

Sementara itu, Cuevas yang hampir dua tahun berehat kerana kecederaan lutut teruja selepas berjaya mara ke pusingan kedua kejohanan.

"Saya gembira bertemu dengan pemain yang baik. Ini merupakan kejohanan kelima saya tahun ini.

"Sekarang kecederaan sudah baik. Saya gembira kerana dapat kembali bermain," jelas Cuevas yang menjulang juara acara beregu pada Terbuka Perancis 2008 ini.

Sementara itu satu lagi aksi menarik perseorangan di antara pemain muda dari Kanada, Vasek Pospisil mara ke pusingan kedua dengan mengetepikan pemain senior dari Romania, Victor Hanescu 6-1, 1-6, 3-6.

Pospisil yang tewas pada set pertama bangkit pada set kedua sebelum menguasai set ketiga sekaligus memenangi perlawanan ini dalam tempoh 1 jam 44 minit.

Pemain yang kini berada di ranking ke-41 dunia ini pastinya mahu mara ke saingan lebih baik kejohanan ini selepas aksi sulungnya di Kuala Lumpur tahun lalu terhenti pada saingan suku akhir, tewas kepada Juan Monaco dari Argentina.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan