Mahaleel Tak Anggap Perletakkan Jawatan Rashid Satu Kehilangan Sebaliknya Dedahkan Perkara Lain

Diterbitkan: Sabtu, 21 September 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Mahaleel
Mahaleel

KUALA LUMPUR: Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Tengku Tan Sri Mahaleel Tengku Ariff tidak menganggap keputusan Rashid Sidek meletakkan jawatan sebagai satu kehilangan kepada negara dan juga persatuan itu.

Sebaliknya beliau mempersoalkan kesetiaan Rashid sebagai jurulatih kepada BAM kerana menandatangani kontrak selama setahun dengan kelab Delhi Smashers, Liga Badminton India ketika masih lagi terikat sebagai jurulatih kebangsaan.

Isu tersebut katanya akan dibawa ke Lembaga Disiplin BAM untuk tindakan lanjut.

Rashid Sidek pemenang pingat gangsa Olimpik di Temasya Atlanta 1996 meletakkan jawatannya pada Khamis, selepas 10 tahun berkhidmat sebagai ketua jurulatih perseorangan negara kerana tidak lagi seronok dengan sistem baru yang diperkenalkan oleh BAM sejak Tengku Mahaleel menerajui persatuan berkenaan.

Program kejurulatihan BAM kini diletakkan di bawah Kumpulan Pengurusan Bakat, kendalian Tan Aik Mong yang telah membahagikan mereka kepada dua pasukan - iaitu Pasukan A dan B.

Perletakkan jawatan Rashid muncul ketika abangnya Razif Sidek dilantik untuk mengetuai Kumpulan A. Bagaimanapun Rashid menegaskan tindakannya untuk berhenti tiada kena mengena dengan kembalinya Razif bersama BAM.

Walaupun pemain perseorangan negara dan nombor satu dunia, Lee Chong Wei menyatakan perasaan kecewanya kerana kehilangan Rashid tetapi menurut Tengku Mahaleel, Rashid telah gagal untuk melahirkan pemain pelapis yang bertaraf dunia dan penganti kepada Chong Wei.

“Apakah perletakkan jawatan Rashid adalah satu kehilangan kepada kami? Ia bukanlah satu kehilangan. BAM mempunyai ramai lagi jurulatih dan jika seorang jurulatih itu tidak setuju dengan sistem yang kita perkenalkan, jadi apa yang boleh BAM buat," jelas Tengku Mahaleel.

Malah Tengku Mahaleel mendakwa yang sejak dia menerajui BAM dia tidak pernah bertemu dengan Rashid melainkan jurulatih itu menyapanya dengan berkata "hello" dan oleh itu adalah tidak wajar untuk Rashid berkata yang dia tidak dapat bekerjasama dengannya.

Presiden BAM itu juga turut menjelaskan yang Razif Sidek bukannya dibawa masuk sebagai jurulatih tetapi sebaliknya sebagai seorang jurunilai.

"Peranannya ialah untuk membantu BAM membuat penilaian ke atas semua jurulatih agar mereka boleh melahirkan pendekatan yang berbeza sebab itulah kita wujudkan dua pasukan kerana kita mempunyai ramai jurulatih tetapi dengan bebanan yang tidak seimbang. Ada yang hanya melatih dua atau tiga pemain sedangkan ada pula jurulatih mempunyai sehingga lapan pemain di bawah mereka.

"Tetapi selepas kita membuat perubahan bebanan ini menjadi lebih seimbang dan sekata," kata Tengku Mahaleel lagi.

Tengku Mahaleel juga menegaskan yang pemain-pemain lain di bawah kendalian Rashid seperti Liew Darren dan Wei Feng sebagai tidak mencapai prestasi yang memberansangkan walaupun Darren telah memenangi Terbuka Perancis tahun lepas.

Beliau menyifatkan tahun depan sebagai tahun yang penting dengan empat kejohanan besar menanti para pemain iaitu Piala Thomas, Sukan Komanwel, Sukan Asia dan Kejohanan Dunia.

" BAM perlu membuat perubahan pada sistem kejurulatihan sekarang jika mahu melahirkan pasukan yang boleh memenangi kejuaraan tahun depan.

"Dan jika BAM masih lagi teruskan dengan sistem yang sedia ada, kita tidak akan memenangi apa-apa dan majlis BAM akan memecat saya pula selepas ini," katanya.

Tengku Mahaleel kemudiannya menimbulkan isu kontrak setahun Rashid dengan Delhi Smashers walaupun jurulatih itu bersama rakan sejawatannya, Tey Seu Bock dan lapan pemain badminton Malaysia termasuk Chong Wei turut mengambil bahagian dalam liga berkenaan dengan restu bekas Presiden, Datuk Seri Nadzmi Mohd Salleh.

“Rashid terikat dengan BAM dari Januari 2013 hingga Disember 2014. Bagaimana seseorang itu menandatangani kontrak dan dibayar gaji oleh Malaysia dan pada masa yang sama ada satu lagi kontrak dengan sebuah negara lain? Jika dokumen yang kami temui itu benar dan sah maka dari segi undang-undang ia dengan jelas sekali merupakan satu pelanggaran kontrak dan kesannya sangatlah besar.

“Ini kerana jika dia pergi ke India, dalam tempoh tertentu siapakah yang akan melatih para pemain kita dan dengan empat kejohanan penting tahun depan, apakah jaminan yang rahsia permainan kita tidak akan dikongsi oleh pesaing kita?" tanya Tengku Mahaleel.

Dan ketika ditanya bagaimana pengurusan BAM meluluskan penyertaan Rashid dalam kejohanan liga India itu, Tengku Mahaleel berkata: “Saya tidak menerajui BAM pada masa itu tetapi satu kontrak adalah tetap satu kontrak dan kami akan menyiasat perkara ini dan jika ada mana-mana pegawai yang memberikan lampu hijau untuk para jurulatih ini untuk menyertai kejohanan tersebut pegawai itu perlu memberikan penjelasan."

Jelas Tengku Mahaleel, Jawatankuasa Disiplin akan bermesyuarat pada Sabtu untuk melihat isu ini sedalam-dalamnya.

iklan

Video

Khamis, 23 November 2017 11:18 PM

Fazura Sah Tunangan Fattah Amin

Khamis, 23 November 2017 7:36 PM

Alahai KTM! Bila Isu Tren Tergelincir Nak Selesai?

Khamis, 23 November 2017 4:00 PM

Tatang Bagai Puteri, Tapi Ini Jadinya - Harris Baba

Khamis, 23 November 2017 3:45 PM

Tak Perlu 'FB Live' Anak Berjaya UPSR - Prof Muhaya

Khamis, 23 November 2017 2:32 PM

Bayar 'Ciput', Lepak Sampai Puas

Khamis, 23 November 2017 9:00 AM

Lagu Tak Layak, Ayda Jebat Sekadar Nak Tahu Punca

Rabu, 22 November 2017 7:00 PM

"Saya Sedih, Kecewa Dengan Nabil" - Chef Wan

Selasa, 21 November 2017 5:42 PM

Apa Terjadi Dengan Wartawan mStar?

Selasa, 21 November 2017 9:00 AM

Kenali Siapa Penyanyi Lagu 'Bismillah'

Kolumnis

iklan

Iklan