Setiap Era Akan Berakhir Begitu Juga Dengan Roger Federer

Diterbitkan: Rabu, 4 September 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

INI adalah hakikat yang harus diterima dan dihadapi. Setiap era akan berakhir dan begitu juga dengan Roger Federer...eranya sedang meniti di penghujung jalan.

Maka itu, kita tidak seharusnya berasa terkejut dengan kekalahannya kepada Tommy Robredo di peringkat pusingan keempat pada Kejohanan Terbuka Amerika Syarikat (AS) yang sedang berlangsung di New York sekarang.

Pada usia 32 tahun, kejayaannya mara ke pusingan keempat sudah boleh dianggap sebagai satu kejayaan.

Pemain seangkatan dan seusia dengannya Lleyton Hewitt yang juga pernah menjadi juara di sini turut terkandas di pusingan yang sama.

Malah semua peminat tenis pernah berhadapan dengan situasi seperti ini ketika Pete Sampras dan Andre Agassi menghampiri era kejatuhan mereka. Kita merasakan yang kita akan kehilangan mereka, tidak dapat melihat mereka beraksi lagi dan sebagainya.

Secara idealnya kita tidak mahu kehilangan seorang juara tetapi hakikatnya, tenis sepertimana badminton adalah sejenis sukan yang sangat fizikal dan memerlukan tenaga serta kekuatan yang maksimum untuk terus bermain.

Dan Federer boleh dikatakan bersikap terbuka dan jujur apabila dia memberi reaksi di atas kekalahannya di tangan Robredo.

"Saya terpaksa bergelut sepanjang perlawanan. Saya melepaskan begitu banyak peluang. Mungkin kerana rima permainan saya telah tiada lebih-lebih lagi di padang keras seperti Terbuka AS," katanya.

Federer memenangi Grand Slamnya yang pertama di Wimbledon pada 2003. Kesemuanya dia telah merangkul 17 kejuaraan Grand Slam.

Grand Slam adalah kejohanan paling berprestij dalam dunia tenis yang melibatkan empat kejohanan sahaja - Terbuka AS, Perancis, Australia dan Wimbledon. Pukulan depan Federer adalah senjatanya yang paling hebat tetapi ketika menentang Robredo pukulan tersebutlah yang paling lemah.

Pada Kejohanan Wimbledon Jun lalu, Federer tewas kepada pemain nombor 116 dunia - Sergiy Stakhovsky - di pusingan kedua.

Dan nampaknya, inilah buat pertama kalinya sejak 2002, bekas pemain nombor satu dunia itu tidak akan muncul dalam mana-mana final kejohanan Grand Slam.

Namun begitu ini semua tidak akan memadamkan rekod Federer dalam dunia tenis.

Manakan tidak, dia telah memenangi 16 daripada 27 kejuaraan Grand Slam antara Wimbledon 2003 sehinggalah Terbuka Australian 2010.

Rekod Federer cukup cemerlangan dan luar biasa sehinggakan ramai pemerhati tenis berpendapat, ia tidak mungkin akan dapat dipecahkan oleh mana-mana pemain pada masa akan datang.

Malah Federer masih berupaya memenangi Wimbledon tahun lalu pada usia 31 tahun.

Sebab itulah, walaupun kehebatannya semakin berakhir tetapi jika dia mahu terus bermain, Federer akan tetap berada dalam senarai 10 pemain terbaik dunia sehingga hujung tahun ini walaupun untuk memenangi satu lagi kejuaraan Grand Slam kelihatan semakin tipis dan semakin jauh dari genggamannya.

Sampras memenangi Grand Slamnya yang ke-14 dan terakhir pada usia yang sama dengan Federer ketika dia menewaskan Andy Murray dalam final Wimbledon tahun lalu.

Seorang lagi legenda tenis, Jimmy Connors bermain dalam final Terbuka AS pada usia 39 tahun.

Andre Agassi pula memenangi Terbuka Australia menjelang harijadinya yang ke-33.

Agassi adalah satu-satunya pemain yang telah mencapai usia melebihi 32 tahun yang berjaya memenangi kejohanan Grand Slam dalam tempoh 40 tahun yang lalu.

Namun di sebalik kemerosotan permainannya, Federer tidak pula menunjukkan sebarang tanda-tanda untuk bersara.

Umur Federer akan mencecah sepertimana Agassi apabila Terbuka Australia bermula di Melbourne Januari tahun depan.

Sama ada dia mampu mengulangi kejayaan Agassi, adalah sesuatu yang dinanti-nantikan oleh para peminat tenis dunia.

Yang pasti, dia akan tetap berhadapan dengan Rafael Nadal, Novak Djokovic dan Andy Murray - yang di antara mereka telah berjaya mengumpul 20 kejuaraan Grand Slam kesemuanya.

BERIKUT ADALAH PARA PEMENANG KEJUARAAN GRAND SLAM DARI TAHUN 2010 HINGGA SEKARANG:

> Rafael Nadal: Enam kejuaraan (Terbuka Perancis '10, '11, '12, '13; Wimbledon '10; AS '10).

> Novak Djokovic: Lima kejuaraan (Australia '11, '12, '13; Wimbledon '11, AS '11).

> Roger Federer: Dua kejuaraan (Australian '10; Wimbledon '12)

> Andy Murray: Dua kejuaraan (AS '12; Wimbledon '13)

iklan

Video

Jumaat, 17 November 2017 4:25 PM

Tokan Kantoi Bungkus Dadah Dalam Plastik Teh

Jumaat, 17 November 2017 2:00 PM

Pesawat Dedah Punca Menyepi

Jumaat, 17 November 2017 9:00 AM

#akuStar: Hyper Act - Kasih

Khamis, 16 November 2017 2:00 PM

“Kalaulah Diberi Watak Utama...” - Riz Amin

Khamis, 16 November 2017 9:05 AM

Tak Tipu! Rawang Bypass Memang Gayat

Khamis, 16 November 2017 9:00 AM

Sufi Tak Mampu Tolak Haqiem Rusli

Rabu, 15 November 2017 9:00 AM

Bakat Mafarikha Tersia-sia Enam Tahun

Selasa, 14 November 2017 2:00 PM

Nasi Kandar 3 Jam!

Selasa, 14 November 2017 9:00 AM

“Penat..Tapi Best!” - Nad Zainal

Kolumnis

iklan

Iklan