Chong Wei Sandaran Realistik Malaysia Di Guangzhou

Diterbitkan: Isnin, 5 Ogos 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

GUANGZHOU: Secara realistik, Datuk Lee Chong Wei adalah satu-satunya sandaran Malaysia bagi merangkul kejuaraan pada Kejohanan Badminton Dunia 2013 yang akan membuka tirai esok di Gimnasium Tianhe.

Dengan undian yang dilihat 'agak cantik' serta prestasi semasanya yang begitu memberangsangkan selepas menjuarai Terbuka Indonesia pada Jun lepas, laluan Chong Wei untuk mara ke pentas akhir buat kali kedua berturut-turut pada kejohanan berkenaan begitu cerah.

Apatah lagi, jaguh badminton negara itu tidak akan berdepan musuh tradisinya dari China, Lin Dan di pusingan awal, sebaliknya jika kedua-dua mereka berjaya melepasi halangan masing-masing, mereka akan bertemu di pentas akhir.

Cabaran Chong Wei akan bermula Isnin dengan berdepan pemain bukan pilihan dari Scotland, Scott Evans pada pusingan pertama dan beliau dijangka bertemu pemain muda Indonesia, Dionysius Hayom Rumbaka pada pusingan kedua.

Cabaran getir Chong Wei dijangka bermula pada pusingan ketiga apabila beliau bakal berdepan pemain sedang meningkat dari China, Wang Zhengming yang juga merupakan pemain nombor 14 dunia.

Jika Chong Wei berjaya melepasi halangan tersebut, beliau dijangka bertemu sama ada pemain nombor lapan dunia, Tommy Sugiarto dari Indonesia atau pilihan ke-11, Marc Zwiebler dari Jerman, sebelum berdepan pemain nombor tiga dunia, Du Pengyu dari China di peringkat separuh akhir.

Sejak mula menyertai Kejohanan Dunia di Anaheim, Amerika Syarikat pada 2005, paling hampir Chong Wei dapat membawa pulang kejuaraan dunia ialah di Wembley, London dua tahun lepas, namun terpaksa akur kepada Lin Dan, yang merupakan juara dunia sebanyak empat kali.

Bukan mahu memperkecil kemampuan 21 pemain Malaysia lain, namun berdasarkan pencapaian serta prestasi semasa, harapan tinggi tidak diletakkan kepada mereka untuk membawa pulang mahkota kejuaraan pada kejohanan berkenaan.

Jika mereka mara ke suku akhir atau separuh akhir, ia disifatkan sebagai pencapaian yang begitu baik kerana kebanyakan daripada mereka baharu pertama kali menyertai kejohanan dunia tersebut.

Bagi pasangan beregu kontroversi, Koo Kien Keat-Tan Boon Heong, penampilan mereka pada saingan kali ini adalah bagi menyelamatkan 'hubungan' mereka setelah prestasi mereka merudum sejak beberapa tahun lepas.

Persatuan Badminton Malaysia (BAM) telah meletak sasaran agar beregu berkenaan sekurang-kurangnya mara ke peringkat akhir atau berdepan dipisahkan selepas kejohanan tersebut.

Tetapi, berdasarkan prestasi mereka sejak beberapa tahun lepas yang mana kali terakhir pasangan itu memenangi kejohanan utama ialah pada Siri Super Terbuka Malaysia pada 2010, segala-galanya nampak sukar bagi mereka untuk menepati sasaran tersebut di Guangzhou.

Namun, tidak mustahil pasangan berkenaan mampu membuat kejutan kerana kejohanan itu adalah 'survival' kepada gandingan mereka untuk terus bersama bersaing di persada antarabangsa, terutama pada kejohanan utama dunia.

Bagi pasukan China, banyak pihak meramalkan pemain Tembok Besar itu mampu mengulangi pencapaian mereka menyapu bersih lima kategori pada kejohanan berkenaan seperti yang dilakukan pada edisi 2011 di Wembley.

Dan, jika melihat kepada prestasi semasa mereka apabila turut menyapu bersih lima kategori tersebut pada Sukan Olimpik 2012 di London, adalah tidak mustahil pemain tuan rumah mampu mengulanginya di Guangzhou.

Malah, penggunaan bulu tangkis baharu pada kejohanan kali ini, juga dikatakan memberi kelebihan kepada pemain tuan rumah dan Korea Selatan yang telah lama menggunakan alatan sukan tersebut.

Namun begitu, masalah itu bukan satu alasan bagi pemain Malaysia untuk mencuri tumpuan di sini kerana mereka juga sudah membiasakan diri dengan bulu tangkis tersebut sejak beberapa bulan lepas.

Apa pun, harapan peminat Malaysia sudah tentu terarah kepada Chong Wei untuk memecah 'tembok besar' China itu daripada menguasai kelima-lima acara berkenaan di sini.

"Saya akan melakukan yang terbaik dan saya harap mampu mencapai impian saya di sini (bergelar) juara," kata Chong Wei, yang belum pernah menjuarai kejohanan berkenaan.

Malah, tiada seorang pun pemain Malaysia yang pernah memenangi kejuaraan tersebut. - BERNAMA

iklan

Video

Khamis, 24 Ogos 2017 12:38 PM

Wan Sharmila Kena 'Badi' Cinta

Khamis, 24 Ogos 2017 9:00 AM

Susunan Lagu Dari Sweden Gagal Takluk Persis

Rabu, 23 Ogos 2017 3:00 PM

Shuib Sepahtu 'Kuat' Cari Duit!

Rabu, 23 Ogos 2017 12:00 PM

Ayda Jebat Impi 'Mata' Tercalon Anugerah

Rabu, 23 Ogos 2017 9:00 AM

Keghairahan Shahrol Shiro Makan Diri?

Selasa, 22 Ogos 2017 12:00 PM

Sakan! Shiha Zikir Kini Hidup Mewah

Selasa, 22 Ogos 2017 9:00 AM

Tania Hudson Tak jangka Kembali Aktif

Isnin, 21 Ogos 2017 12:59 PM

Hafiz Tak Mengaku Saya Isteri - Joy Revfa

Isnin, 21 Ogos 2017 9:00 AM

#BiziBody: Syafiq Kyle Pentingkan Penampilan

Kolumnis

iklan

Iklan