Tengku Mahaleel Sudah Sedia Untuk Jawatan Nombor 1 Dalam BAM

Diterbitkan: Jumaat, 26 Julai 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Buat pertama kali dalam tempoh 12 tahun, peralihan kepimpinan dalam Persatuan Badminton Malaysia (BAM) akan berlaku pada mesyuarat agung tahunan (AGM) badan sukan induk itu di sini, Sabtu.

Bekas ketua pegawai eksekutif (CEO) Proton Holdings Berhad Tan Sri Tengku Mahaleel Tengku Ariff disebut-sebut akan mengambil alih jawatan presiden daripada Datuk Seri Mohd Nadzmi Mohd Salleh.

Nadzmi, yang juga bekas CEO Proton, pada Khamis tampil dengan menyatakan sokongan terhadap Tengku Mahaleel untuk menerajui badan induk salah satu sukan utama di negara ini.

Nadzmi berkata sebagai tokoh korporat berpengalaman dan berkebolehan, Tengku Mahaleel, selaku naib presiden BAM dan presiden Persatuan Badminton Kelantan itu, mampu memartabatkan sukan badminton Malaysia ke tahap lebih tinggi di persada dunia jika dipilih.

"Saya rasa beliau sudah bersedia. Beliau ada menelefon saya memberitahu sudah bersedia bertanding jawatan presiden jika dicalonkan," kata Nadzmi, yang melepaskan jawatan itu selepas dipilih sebagai presiden Konfederasi Badminton Asia (ABC), Mac lepas.

Nadzmi mengambil alih jawatan presiden BAM daripada Datuk Dr Abdullah Fadzil Che Wan pada tahun 2000.

Sehingga ini, hanya Tengku Mahaleel menyatakan kesediaan untuk bertanding jawatan presiden jika dicalonkan oleh ahli majlis manakala Timbalan Presiden Datuk Dr Mohamed Al-Amin Abd Majid masih belum memberi jawapan.

Bagaimanapun, Mohamed Al-Amin sebelum ini memberi bayangan bahawa beliau tidak berhasrat untuk bertanding merebut jawatan nombor satu itu.

Tengku Mahaleel bukan muka baharu dalam dunia sukan kerana pernah menjadi juara badminton dalam acara perseorangan dan beregu serta menjadi kapten pasukan kriket Kolej Sultan Ismail Kelantan dan pasukan bola lisut pada tahun 1960-an dan awal 70an.

Beliau turut menganggotai pasukan badminton Universiti Malaya bersama Tan Aik Huang yang kemudian muncul juara All-England.

Selain itu, Tengku Mahaleel merupakan seorang pelumba rali antarabangsa dan muncul juara rali Malaysia pada 1989.

Tengku Mahaleel memberitahu Bernama hari ini bahawa menerajui badan seperti BAM terutamanya adalah tentang kepimpinan yang berkesan, perancangan strategik dan pelaksanaan.

Dalam kisahnya sendiri, beliau memiliki pengalaman selama 43 tahun dalam memulihkan prestasi syarikat-syarikat yang semakin berkembang.

"Ini sentiasa menjadi kelebihan saya. Untuk berlaku adil, saya hanya boleh merancang untuk penambahbaikan dan perkembangan BAM sebaik sahaja mendalami dinamik organisasi itu," katanya.

Di pentas pengeluar kereta nasional, Tengku Mahaleel telah memainkan peranan penting dalam melakar sejarah negara dengan mereka bentuk dan mengeluarkan kereta tempatan asli yang pertama di Malaysia iaitu Proton WAJA disusuli dengan model dan enjin lain.

Semasa menerajui syarikat pengeluar kereta nasional itu selama sembilan tahun, Proton telah mencatatkan keuntungan lebih RM1.2 bilion sebanyak tiga kali.

Tengku Mahaleel kini menjadi Pengerusi Tien Wah Press, sebuah syarikat pencetak terbesar serantau di luar China dan Jepun.

Pertumbuhan syarikat itu begitu ketara dengan perolehan tahunan meningkat daripada RM100 juta kepada RM400 juta. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan