Skuasy: Malaysia Mara ke Suku Akhir Skuasy Berpasukan Lelaki Dunia WSF

Diterbitkan: Khamis, 13 Jun 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Pasukan skuasy lelaki Malaysia mara ke suku akhir kejohanan Skuasy Berpasukan Lelaki Dunia Persekutuan Skuasy Dunia (WSF) di Mulhouse, Perancis selepas mengalahkan Amerika Syarikat 2-0 pada Rabu.

Juara Asia empat kali Ong Beng Hee memulakan rentak kemenangan dengan mengalahkan Christopher Gordon 7-11, 11-5, 11-4 dan 11-8 dalam perlawanan yang berlangsung satu jam tujuh minit.

Muhd Asyraf Azan kemudian menumpaskan Dylan Murray 8-11, 12-10, 11-2 dan 11-8 dalam perlawanan 38 minit.

Perlawanan antara Mohd Nafiizwan Adnan dan Gilly Lane tidak berlangsung.

"Saya dan Chris bermain dalam kumpulan sama sebelum ini dan ketika itu saya mengalahkannya, jadi saya berasa yakin.

"Kami berkesudahan di tempat kelima tahun lepas, tetapi tahun ini Azlan (Mohd Azlan Iskandar) tidak ada jadi agak sukar untuk membuat pencapaian serupa kali ini,," kata Beng Hee yang dipetik menerusi blog kejohanan www.squashsite.co.uk.

Pasukan Malaysia akan bertemu Perancis di suku akhir.

Pemain Perancis - Gregory Gaultier, Gregoire Marche dan Mathieu Castagnet - menempah tempat ke suku akhir selepas menyingkirkan Mexico 3-0.

Mesir, India, Australia, Jerman, England dan Afrika Selatan turut layak ke suku akhir.- BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan