Beregu China Harap Peroleh Semula Rentak Kemenangan

Diterbitkan: Ahad, 26 Mei 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Pasangan beregu lelaki nombor sembilan dunia, Cai Yun dan Fu Haifeng dari China berharap memperoleh semula rentak kemenangan selepas mengalami dua kekalahan berturut-turut dalam Kejohanan Badminton Piala Sudirman 2013 yang akan melabuhkan tirainya di Stadium Putra Bukit Jalil di sini Ahad.

Gandingan itu kalah 21-19, 18-21 dan 15-21 kepada pasangan Indonesia Saputra Rian Agung dan Angga Pratama dalam pertemuan suku akhir pada Khamis sebelum tunduk 16-21 dan 17-21 kepada beregu lelaki nombor satu dunia dari Denmark Carsten Mogensen dan Mathias Boe dalam saingan separuh akhir pada Sabtu.

"Menurut jurulatih kami, prestasi kami merosot sejak akhir-akhir ini dan kami perlu akui bahawa kami masih mencari rentak kemenangan kami," kata Fu menerusi seorang jurubahasa selepas perlawanan menentang Denmark.

Berkongsi pandangan dengan Fu, rakan sepasukannya Cai berkata kurangnya tahap kecergasan setelah tidak menyertai banyak kejohanan badminton antarabangsa menjadi punca sebenar di sebalik kekalahan kali kedua berturut-turut dalam Piala Sudirman tahun ini.

"Kini terserah kepada ketua jurulatih kami (Li Yongbo) sama ada mahu menggandingkan kami berdua menentang Korea Selatan (dalam perlawanan akhir esok) tapi seperti yang saya katakan sebelum ini, kami sedia untuk melakukan yang terbaik," kata Cai.

Sementara itu Mogensen dan Boe gembira apabila berjaya mengalahkan pasangan China itu yang mereka sifatkan sebagai antara beregu terhebat dunia.

"Kami harap dapat memperbaiki rekod kemenangan kami ke atas beregu China dalam kejohanan akan datang memandangkan kami kalah banyak kali kepada mereka," kata Mogensen.

Boe pula menyifatkan perlawanan hari ini sebagai pertarungan terbaik yang mereka lalui berbanding pertemuan sebelum ini. "Sebelum perlawanan, kami beberapa kali mengkaji semula permainan lawan kami selain mendapatkan nasihat terbaik daripada jurulatih bagaimana untuk mengalahkan mereka dan kami berjaya melakukannya," kata Boe.

Sebagai rekod, kedua-dua pasangan itu bertemu 10 kali sejak 2007 yang menyaksikan beregu China meraih tujuh kemenangan.

Di sebalik kekalahan itu, China mara ke final selepas menang 3-1 ke atas pasukan Denmark untuk bertemu Korea Selatan pada Ahad.

Korea Selatan, yang menang tiga kali sebelum ini, terlebih dahulu menempah tempat di final selepas dengan mudah mengetepikan Thailand, juga dengan mata yang sama. -BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan