Scotland, Vitenam Juara Divisyen Dua & Tiga Piala Sudirman 2013

Diterbitkan: Sabtu, 25 Mei 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Scotland dan Vietnam masing-masing menjuarai Divisyen Dua dan Tiga pada hari keenam Kejohanan Badminton Piala Sudirman 2013 di Stadium Putra, Bukit Jalil di sini.

Scotland yang diletak dalam kumpulan 2A menewaskan juara kumpulan 2B, Belanda 3-1 sekali gus bakal beraksi dalam Divisyen Satu pada 2015.

Perlawanan lain dalam divisyen berkenaan menyaksikan Rusia mengalahkan Perancis 3-0, Amerika Syarikat menundukkan Austria 3-0 manakala Sweden menang tipis 3-2 ke atas Kanada.

Vietnam, yang diundi dalam kumpulan 3A, pula mudah menundukkan juara kumpulan 3B iaitu Ukraine 3-1 bagi memastikan mereka ke Divisyen Dua pada 2015.

Empat lagi perlawanan dalam divisyen itu menyaksikan Filipina dan Switzerland masing-masing menang tipis 3-2 ke atas Australia dan New Zealand, Sri Lanka menundukkan Lithuania 3-1 manakala Turki membelasah Kazakhstan 3-0.

Persekutuan Badminton Dunia (BWF) dijangka mengumumkan hos bagi edisi 2015 Piala Sudirman pada Januari tahun depan.

Saingan edisi ke-13 bakal diteruskan dengan perlawanan separuh akhir esok melibatkan Divisyen Satu bagi menentukan dua pasukan terbaik ke perlawanan akhirvbagi merebut trofi Piala Sudirman.

Juara lapan kali China yang hampir dimalukan Indonesia sebelum menang 3-2 pada aksi suku akhir semalam, bakal berdepan naib juara berpasukan Eropah iaitu Denmark manakala juara tiga kali Korea Selatan pula menentang Thailand.

Perlawanan akhir Piala Sudirman 2013 bakal berlangsung Ahad ini bermula 2 petang. -BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan