Badminton: Wei Feng, V Shem-Kim Wah Tempat Tiket Ke Separuh Akhir ABC

Diterbitkan: Sabtu, 20 April 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Perseorangan nombor tiga negara Chong Wei Feng dan beregu Goh V Shem/Lim Khim Wah berjaya melangkah ke separuh akhir Kejohanan Badminton Asia (ABC) di Taipei Arena, Taiwan, pada Jumaat.

Dalam saingan suku akhir, Wei Feng, 25, terpaksa mandi peluh sebelum menang ke atas pemain China, Gao Huan 18-21, 21-15 dan 21-19 dalam pertarungan selama 72 minit.

Pada separuh akhir esok, Wei Feng, yang diletakkan sebagai pilihan kelapan, akan menentang pemain nombor dua dunia, Chen Long dari China, yang sebelum itu mengalahkan pemain veteran Thailand, Ponsana Boonsak dengan 21-14, 20-22, 21-12.

Bagaimanapun, pemain nombor dua negara, Daren Liew, gagal melepasi saingan suku akhir apabila kalah kepada pemain nombor tiga dunia, Du Pengyu dari China, dengan keputusan 26-24, 21-19. Dalam pada itu, beregu V Shem/Khim Wah meneruskan aksi cemerlang dengan terpaksa berhempas pulas hampir sejam untuk melakarkan kemenangan ke atas beregu China, Hong Wei/Shen Ye dengan keputusan 'rubber-set' 21-18, 21-23, 23-21.

Beregu negara dengan ranking ke-15 dunia bakal berdepan dengan laluan sukar pada separuh akhir apabila menentang pilihan utama Ko Sung Hyun/Lee Yong Dae dari Korea Selatan.

Beregu Korea itu menempah slot ke separuh akhir apabila mengetepikan dengan mudah beregu Jepun, Takeshi Kamura/Keigo Sonoda dengan kemenangan 21-14, 21-17.

Dalam saingan perseorangan wanita, wakil tunggal negara, Sonia Cheah terpaksa akur dengan kehebatan pemain utama China, Li Xuerui, yang mencatatkan kemenangan mudah 21-13, 21-17.

Beregu wanita negara, Amelia Alicia Anscelly/Soong Fie Cho tersingkir apabila dikecewakan oleh pasangan dari China, Ma Jin/Tang Jinhua dengan keputusan 14-21, 10-21.

Sementara beregu campuran negara Teo Yi Ee/Amelia Alicia Anscelly turut gagal mara ke saingan berikutnya apabila tumpas di tangan beregu campuran Korea Ko Sung Hyun/Kim Ha Na dengan keputusan 12-21, 10-21.-BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan