Chong Wei Tewas Pada Separuh Akhir Terbuka Australia

Diterbitkan: Sabtu, 6 April 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Jaguh badminton negara, Datuk Lee Chong Wei menerima tamparan hebat apabila kalah mengejut kepada bintang muda China, Tian Houwei pada separuh akhir Terbuka Australia di Sydney, pada Sabtu.

Chong Wei, 30, pilihan utama dan pemain nombor satu dunia, gagal mengekang kelincahan pemain berusia 20 tahun itu apabila tunduk 19-21, 21-17, 18-21 dalam pertarungan selama 81 minit.

Ini merupakan pertemuan pertama Chong Wei dengan Tian Houwei, bekas juara remaja dunia 2009, yang memiliki ranking ke-196 dunia.

Tian Houwei akan beraksi di pentas final pada Ahad dengan menentang rakan senegara Xue Song yang sebelum itu mengalahkan pemain Indonesia Alamsyah Yunus, 21-10, 18-21, 21-15.

Cabaran Malaysia pada kejohanan itu berakhir selepas beregu lelaki nombor 16 dunia, Mohd Zakry Abdul Latif/Mohd Fairuzizuan Mohd Tazari turut mengalami nasib sama dengan Chong Wei.

Beregu negara itu gagal melangkah ke final apabila dengan mudah dikalahkan oleh pasangan Indonesia Mohammad Ahsan/Hendra Setiawan, 21-18, 21-18 dalam masa 27 minit.

Gandingan Indonesia itu bakal bertemu beregu senegara Angga Pratama/ Ryan Agung Saputra pada perlawanan akhir pada Ahad.

Angga Pratama/Ryan Agung mengisi slot final selepas mengalahkan beregu Korea selatan, Dae Eun Kim/Baek Choel Shin 21-9, 21-14 dalam masa 26 minit pada satu lagi saingan separuh akhir. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan