Chong Wei Mara Ke Suku Akhir Terbuka Australia

Diterbitkan: Khamis, 4 April 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Jaguh badminton negara Datuk Lee Chong Wei akan menggalas cabaran negara bersama Chong Wei Feng dan lima beregu negara pada suku akhir Kejohanan Terbuka Australia di Sydney, Jumaat.

Pada pusingan ketiga pada Khamis, Chong Wei, selaku pilihan utama, tidak menghadapi masalah sebelum menjinakkan pemain India, R.M.V.Gurusaidutt dengan keputusan 21-10, 18-21, 21-15 pada pertarungan selama 56 minit.

Chong Wei akan menentang pemain China Bin Qiao pada suku akhir.

Bin Qiao pula menempah slot suku akhir dengan mudah mengatasi pemain Jepun Kento Momota dengan keputusan 21-19 dan 21-18.

Turut mengiringi Chong Wei dalam acara perseorangan ialah Wei Feng yang mengalahkan pemain India, Anand Pawar dengan keputusan 21-19 dan 21-15 manakala nasib tidak menyebelahi pemain nombor dua negara Liew Daren.

Daren menerima kejutan apabila kalah kepada pemain muda Korea Selatan, Lee Dong Keun dengan mata 14-21, 21-17, 15-21.

Dalam saingan perseorangan wanita, Sonia Cheah, gagal menempatkan diri ke suku akhir apabila kalah 15-21, 21-23 kepada pemain China, Hu Xirui.

Dalam acara beregu lelaki, pasangan emas negara Koo Kien Keat/Tan Boon Heong hanya mengambil masa 29 minit untuk menyingkirkan beregu muda China, Kaixiang Huang/Jianqi Tao dengan keputusan 21-13 dan 21-6.

Kien Kiat/Boon Heong akan bertemu beregu Indonesia, Mohammad Ahsan/Hendra Setiawan pada saingan suku akhir.

Turut mengiringi pasangan emas itu ialah Mohd Zakry Abdul Latif/Mohd Fairuzizuan Mohd Tazari dan Gan Teik Chai/Ong Soon Hock apabila mereka berjaya menumpaskan lawan masing-masing.

Beregu wanita negara, Vivian Hoo/Woon Khe Wei menepati ramalan apabila membenam beregu dari Australia, Verdet Kessler/Talia Saunders 21-6, 21-14 dalam masa 20 minit.

Tan Aik Quan/Lai Pei Jing pula menjadi wakil tunggal beregu campuran negara layak ke suku akhir setelah mengatasi gandingan China, Li Junhui/Dongni Ou dengan kemenangan 21-18, 17-21 dan 21-17 dalam masa 56 minit. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan