Pemergian Eddy Choong Kehilangan Besar Arena Badminton Negara - Shabery

Diterbitkan: Rabu, 30 Januari 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Pemergian legenda badminton negara Datuk Eddy Choong Ewe Beng merupakan satu kehilangan besar bagi badminton negara, kata Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek.

Beliau berkata usaha dan kejayaan yang diraih oleh mendiang banyak membantu pembangunan sukan badminton negara dan pemergiannya sukar dicari ganti.

"Saya difahamkan mendiang adalah seorang ahli sukan yang tidak pernah menimbulkan masalah sepanjang kariernya. Beliau juga tidak lokek untuk berkongsi ilmu dan pengalaman dengan orang lain.

"Dengan kejayaan sepanjang kariernya, beliau boleh disifatkan sebagai seorang pemangkin kecemerlangan badminton negara dan pemergian beliau ini adalah satu kehilangan kepada dunia sukan badminton negara," katanya dalam satu kenyataan di sini, Selasa.

Eddy Choong, 83, meninggal dunia akibat komplikasi jantung dan pendarahan di dalam perut di pusat pakar Loh Guan Lye, Pulau Pinang semalam.

Ahmad Shabery berkata apa yang dilakukan oleh mendiang adalah demi cintanya kepada negara dan sukan badminton yang membolehkannya meraih kejayaan walaupun tidak disediakan kemudahan seperti yang diberi kepada atlet sekarang.

Beliau turut mengucap takziah kepada balu mendiang Datin Maggie Thean Sun Lim dan seluruh anggota keluarganya.

Menteri Belia dan Sukan itu dijangka memberi penghormatan terakhir kepada mendiang di Pulau Pinang, Khamis ini. -BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan