Harapan Buat Malaysia Untuk Skuasy Disenaraikan Sebagai Acara Olimpik

Diterbitkan: Ahad, 23 Disember 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

MELBOURNE: Rakyat Malaysia akan menanti dengan penuh harapan terhadap mesyuarat Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) di Lausanne, Switzerland apabila desakan kuat dilakukan supaya skuasy dimasukkan sebagai acara dalam temasya Olimpik 2020.

Bintang skuasy dunia bersungguh-sungguh merayu agar acara itu disenaraikan dalam temasya Olimpik, dengan berkata sifat 'gladiator' sukan itu menjadikannya sangat sesuai dipertandingkan pada temasya berprestij berkenaan.

Jika disenaraikan, ia akan memberi harapan kepada juara tujuh kali skuasy wanita dunia, Datuk Nicol Ann David dari Malaysia, negara yang belum pernah memenangi emas Olimpik, selain juara lelaki yang baru dinobatkan, Ramy Ashour dari Mesir, pemenang pingat emas dalam tujuh kejohanan.

Skuasy membuat percubaan bersama-sama karate dan wushu, gabungan seni mempertahankan diri, besbol dan sofbal, 'roller sports', 'wakeboarding' dan sukan mendaki untuk dimasukkan dalam temasya 2020 itu, dengan para pegawai membentangkan hujah berkaitan sukan yang dinamik itu kepada IOC di Lausanne, menurut laporan Australian Associated Press (AAP).

Ia menjadi satu-satunya sukan raket yang belum disenaraikan dalam temasya Olimpik.

"Skuasy mewakili intipati sukan Olimpik," pemain nombor dua dunia James Willstrop memberitahu IOC, seperti yang dilaporkan AAP.

"Ia bersifat gladiator memandangkan kami satu-satunya sukan raket yang memerlukan pemain berkongsi ruang yang sama dan untuk berjaya memerlukan gandingan strategi mental, kemahiran, ketangkasan dan kecergasan.

"Umur saya kini 29 tahun, jadi impian saya untuk bertanding dalam temasya Olimpik mungkin tidak akan menjadi kenyataan, namun jika saya boleh menjalankan peranan dalam membantu skuasy menjadi sebahagian daripada acara Olimpik, saya boleh bersara dengan gembira."

Presiden Persekutuan Skuasy Dunia N Ramachandran, dari India, berkata: "Pembentangan kami bakal menunjukkan bahawa skuasy melalui proses inovasi sejak beberapa tahun kebelakangan ini untuk menjadikannya mesra penonton.

"Pembangunan misalnya gelanggang kaca tercanggih, pencahayaan di bawah lantai, video penilaian semula pengadilan, pintu masuk sisi gelanggang dan persembahan dalam venue yang ditambah baik, kesemuanya membawa kepada perubahan dramatik dalam penyiaran dan pengalaman peminat," katanya.

"Kami turut menegaskan tentang capaian global dan daya penarik sukan berkenaan. Kesemua lima benua telah menghasilkan juara dunia lelaki dan wanita, dan 20 pemain wanita terkemuka sekarang yang diketengahkan datangnya dari 12 negara merentasi setiap benua.

"Tidak syak lagi sekiranya skuasy dimasukkan sebagai acara Sukan Olimpik, lebih banyak negara akan berpeluang berdiri di atas podium."

IOC akan mengumumkan acara sukan yang disenaraikan dalam Olimpik 2020 pada September depan. - BERNAMA

iklan

Video

Jumaat, 22 September 2017 2:00 PM

Ella Gamit Kenangan Bersama The Boys

Jumaat, 22 September 2017 9:00 AM

#akuStar: Andi Bernadee - Tiada Lagi Maaf

Khamis, 21 September 2017 2:00 PM

Monoloque Tak Habis-Habis Nak Sindir Orang!

Khamis, 21 September 2017 9:00 AM

Popular? Tolak Tepilah! - Bob (AF2)

Rabu, 20 September 2017 4:00 PM

Irfan Haris Nafi Tumpang Populariti Kakak

Selasa, 19 September 2017 2:00 PM

Keluh-Kesah Jalil Hamid

Selasa, 19 September 2017 9:00 AM

Kau Buat #OOTD Pun Riaklah! - Wak Doyok

Isnin, 18 September 2017 2:30 PM

Belum Masa Gantung Skrip – Naim Daniel

Kolumnis

iklan

Iklan