Wozniacki, Hsieh Sah Sertai Tenis Terbuka Malaysia BMW 2013

Diterbitkan: Ahad, 16 Disember 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Pemain nombor 10 dunia Caroline Wozniacki dari Denmark dan juara bertahan dari Taiwan, Hsieh Su-Wei menjadi dua pemain pertama yang mengesahkan penyertaan dalam kejohanan tenis wanita terbuka Malaysia BMW tahun depan.

Pengumuman itu dibuat oleh penaung acara, Tun Dr Mahathir Mohamad dalam sidang akhbar di sebuah hotel di sini Sabtu.

Bekas perdana menteri turut mengumumkan penyertaan secara wildcard dalam pusingan kelayakan bagi pemain kebangsaan berusia 16 tahun, Aslina Chua, yang baru-baru ini muncul juara Terbuka Wanita Sirkit Kebangsaan Malaysia BMW 2012.

Ketika berucap, Dr Mahathir berkata menjadi hasrat beliau untuk melihat rakyat Malaysia melibatkan diri dalam sukan, bukan hanya kerana elemen pertandingannya tetapi juga untuk menggalakkan gaya hidup sihat, selain mewujudkan kerangka minda yang lebih kuat dan berdisiplin.

"Semangat ini juga ada kaitannya dalam memupuk olahragawan dan olahragawati sejak usia muda, yang akan mengharumkan nama Malaysia dan boleh dijadikan contoh ikutan oleh generasi muda kita," katanya.

Beliau berkata sejak diperkenalkan pada 2010, kejohanan itu menjadi satu acara yang penting dalam kalendar sukan Malaysia, dengan menarik kedatangan penonton dari seluruh dunia dan meletakkan Malaysia sebagai destinasi sukan yang unggul.

"Terbuka Malaysia BMW turut menyediakan platform kepada generasi muda untuk mengetengahkan bakat mereka dalam arena sukan dan ini penting terhadap pertumbuhan sukan di negara ini," katanya.

Dr Mahathir kemudian mengadakan perbualan video secara dalam talian dengan Hsieh, yang ketika ini menjalani latihan di Melbourne, Australia.

Hsieh berkata beliau berharap untuk kembali ke Malaysia dan bercadang membawa keluarganya melawat Menara Berkembar Petronas di Kuala Lumpur.

"Memang bagus untuk kembali ke tempat di mana saya memenangi kejohanan," kata pemain itu yang ketika ini berada pada kedudukan ke-25 dalam ranking perseorangan Jelajah WTA.

Terbuka Malaysia BMW, acara yang mendapat pengiktirafan penuh pada siri Jelajah Persatuan Tenis Wanita (WTA), akan diadakan dari 25 Feb hingga 3 Mac tahun depan di Kelab Golf Diraja Selangor dekat sini.

Sejumlah 32 pemain tenis wanita daripada Jelajah WTA akan bersaing memburu kejuaraan perseorangan dalam kejohanan itu yang menawarkan hadiah US$235,000 (RM718,277).

Pertandingan itu akan turut menampilkan 16 pasukan bagi acara beregu, selain kejohanan pusingan kelayakan bagi 24 pemain melangkah ke undian utama.

Sementara itu, Chua, yang berada di kedudukan 596 dunia, berasa teruja kerana diberi peluang mengambil bahagian bersama-sama pemain antarabangsa dalam kejohanan itu.

"Ini baru tahun pertama saya beraksi dalam kejohanan tenis dan saya amat berbesar hati kerana diberi peluang ini. Ini juga kali pertama saya bermain dalam kejohanan profesional, jadi saya sangat teruja dan berharap dapat memberi yang terbaik," kata anak kelahiran Sarawak itu. - BERNAMA

iklan

Video

Jumaat, 22 September 2017 2:00 PM

Ella Gamit Kenangan Bersama The Boys

Jumaat, 22 September 2017 9:00 AM

#akuStar: Andi Bernadee - Tiada Lagi Maaf

Khamis, 21 September 2017 2:00 PM

Monoloque Tak Habis-Habis Nak Sindir Orang!

Khamis, 21 September 2017 9:00 AM

Popular? Tolak Tepilah! - Bob (AF2)

Rabu, 20 September 2017 4:00 PM

Irfan Haris Nafi Tumpang Populariti Kakak

Selasa, 19 September 2017 2:00 PM

Keluh-Kesah Jalil Hamid

Selasa, 19 September 2017 9:00 AM

Kau Buat #OOTD Pun Riaklah! - Wak Doyok

Isnin, 18 September 2017 2:30 PM

Belum Masa Gantung Skrip – Naim Daniel

Kolumnis

iklan

Iklan