Terbuka Hong Kong: Chong Wei, Arif Mara Ke Suku Akhir

Diterbitkan: Jumaat, 23 November 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PEMAIN nombor satu dunia Datuk Lee Chong Wei menempah tiket ke suku akhir selepas menundukkan pemain India Ajay Jayaram pada Kejohanan Badminton Terbuka Hong Kong di Kowloon, Hong Kong, Khamis.

Chong Wei, pilihan utama pada kejohanan itu, menerima tentangan sengit daripada lawannya berusia 25 tahun itu sebelum mencapai keputusan 21-18, 21-19 dalam masa 35 minit.

Jaguh negara itu akan berdepan dengan Nguyen Tien Minh dari Vietnam pada perlawanan seterusnya.

Turut mengiringi Chong Wei ke suku akhir ialah Mohamad Arif Abdul Latif apabila beliau menjinakkan pemain tuan rumah Hu Yun 21-17, 21-17.

Bagaimanapun, Mohamad Arif, yang menduduki ranking ke-42 dunia, bakal menghadapi laluan sukar apabila bertemu dengan pilihan keenam, Kenichi Tago dari Jepun pada Jumaat.

Pemain nombor dua negara, Liew Daren gagal melepasi pusingan kedua apabila tunduk kepada pemain pilihan kedua Cheng Long dari China dengan 8-21, 13-21.

Sementara itu, beregu utama negara Koo Kien Keat/Tan Boon Heong menjadi beregu pertama melangkah ke separuh akhir selepas lawan mereka pada suku akhir esok, Ko Sung Hyun/Le Yong Dae dari Korea Selatan, menarik diri.

Beregu nombor dunia itu sebelum itu mengatasi beregu England, Chris Adcock/Andrew Ellis 25-23, 21-17 pada pusingan kedua.

Wakil Malaysia lain yang turut mara ke suku akhir ialah beregu campuran Chan Peng Soon/Goh Liu Ying, beregu lelaki Hoon Thien How/Tan Wee Kiong dan beregu wanita Goh Liu Ying/Lim Yin Loo.

KEPUTUSAN PEMAIN MALAYSIA:

Perseorangan Lelaki:

Lee Chong Wei mn Ajay Jayaram (IND) 21-18, 21-19;

Mohamad Arif Abdul Latif mn Hu Yun (HKG) 21-17, 21-17;

Liew Daren kalah kepada Chen Long (CHN) 8-21, 13-21. Beregu Lelaki:

Hoon Thien How/Tan Wee Kiong mn Yonathan Suryatama Dasuki/Hendra Aprida Gunawan (INA) 21-19, 21-19;

Koo Kien Keat/Tan Boon Heong mn Chris Adcock/Andrew Ellis (ENG) 25-23, 21-17.

Beregu Wanita:

Vivian Kah Mun/Woon Khe Wei kalah kepada Wang Xiaoli/ Yu Yang (CHN) 12-21, 17-21;

Goh Liu Ying/Lim Yin Loo mn Meiliana Jauhari/Greysia Polii (INA) 21-19, 21-17.

Beregu Campuran:

Tan Wee Kiong/Lim Yin Loo kalah kepada Riky Widianto/Puspita Richi Dili (INA) 17-21, 18-21;

Chan Peng Soon/Goh Liu Ying mn Lunev Sergey/Dimova Evgenia (RUS) 21-18, 21-18;

Ong Jian Guo/Woon Khe Wei kalah kepada Danny Bawa Chrisnanta/Yu Yan Vanessa Neo (INA) 17-21, 21-18, 18-21.-BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan